KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membatalkan saman yang
dikemukakan pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Datuk
Seri Jamal Md. Yunos terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan dua lagi
kerana menyita dan merobohkan sebahagian premis berkenaan.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu memfailkan saman tersebut pada 28
Disember tahun lalu melalui syarikat Linear Active Sdn. Bhd. yang
menjalankan perniagaan resort itu di Sekinchan selaku pihak plaintif.
Plaintif menamakan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Pejabat Daerah
dan Tanah Sabak Bernam serta kerajaan Selangor sebagai defendan pertama
hingga ketiga.
Hakim Syed Faisal Syed Amir memutuskan demikian selepas membenarkan
permohonan kesemua defendan untuk membatalkan saman yang dikemukakan
plaintif.
Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos RM6,000 kepada kesemua defendan.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa tindakan menyita dan meroboh sebahagian resort terbabit adalah bersifat politik.
Oleh itu, plaintif antara lain menuntut ganti rugi sebanyak RM140,000
dan perintah menghalang defendan menutup operasi resort terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan