DETIK DAILY
SANGAT
menyedihkan setiap kali menjelang bulan Ramadan isu pembaziran
dikalangan umat Islam khususnya di negara kita Malaysia sentiasa menjadi
isu yang diperkatakan.
Bulan Ramadan yang mana umat Islam
sepatutnya mengamalkan sikap bersederhana dalam segala hal dan berusaha
mengekang keinginan hawa nafsu, namun ketika inilah berlakunya
peningkatan pembaziran khususnya melibatkan makanan.
Menurut
kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp)
seperti mana dilaporkan, ketika Ramadan setiap tahun, rakyat di negara
kita membuang sekitar 270,000 tan makanan iaitu meningkat sekitar 20
peratus berbanding di bulan-bulan lain. Jumlah yang sama juga berlaku
ketika musim perayaan.
Walaupun laporan itu mungkin mengejutkan tapi
ia bukanlah menghairankan jika diperhatikan budaya masyarakat kita
berbelanja untuk menyediakan juadah menjelang waktu berbuka.
Lihat sahaja bazar-bazar Ramadan dimerata- rata tempat sentiasa penuh
dengan orang ramai menjelang petang sehingga sanggup berasak-asak selain
mengakibatkan kesesakan jalan raya.
Masing-masing pula membeli pelbagai
jenis makanan serta minuman walaupun melebihi daripada yang diperlukan.
Begitu juga berlaku di restoran-restoran yang menyediakan hidangan
berbuka puasa terutamanya secara buffet, dipenuhi dengan lambakan
pelbagai jenis makanan untuk menarik kedatangan pengunjung tapi
sebahagiannya hanya dibuang begitu sahaja.
Makanan-makanan inilah
akhirnya yang memenuhi tong-tong sampah sehingga dikatakan jika disusun
secara menegak akan menjadi setinggi banggunan KLCC atau menurut
analisis SWCORP jumlah sisa makanan yang terbuang itu boleh dihidangkan
kepada 180 juta orang.
Maka tidak hairanlah dalam masyakarat kita
bulan Ramadan lebih dkenali sebagai bulan pesta makan-makan berbanding
bulan untuk beribadat seperti mana sepatutnya.
Justeru, ketika
Ramadan masih berbaki beberapa hari ini eloklah masing-masing cuba
bermuhasabah untuk melihat di mana kesilapan atau apa sebenarnya yang
tidak kena sehingga terjadinya budaya negatif ini.
Amatlah malang
sekiranya fenomena ini akan berulang dan terus diperkatakan pada
masa-masa akan datang kerana ia akan memalukan kita sebagai umat Islam
yang sepatutnya menunjukkan contoh lebih baik dari penganut agama-agama
lain kerana itu yang dituntut ke atas kita.
Mungkin kita boleh mulakan ketika sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi dengan cuba untuk bersederhana.
Dalam masa yang sama menghidupkan budaya ziarah menziarahi yang boleh
merapatkan tali persaudaraan dan mengeratkan persahabatan disamping
membanyakkan amalan bersedekah untuk membantu insan yang kurang bernasib
baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan