Ahad, 29 Januari 2017

Banjir Pahang: Kuantan pulih, beberapa daerah semakin buruk

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang mencatatkan peningkatan setakat jam 8 pagi.
 
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, seramai 7,130 mangsa daripada 1,948 keluarga ditempatkan di 114 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 6,728 mangsa malam tadi.  
 
"Berdasarkan rekod kami, daerah Lipis kekal dengan 2,000 mangsa daripada 563 keluarga dan 24 PPS. Ini diikuti daerah Temerloh dengan 1,996 mangsa daripada 502 keluarga.
 
"Jumlah mangsa banjir di daerah Jerantut menunjukkan sedikit penurunan iaitu 1,078 mangsa daripada 345 keluarga berbanding 1,137 mangsa (360 keluarga) semalam," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi. 
 
Bagaimanapun keadaan banjir di Kuantan pulih sepenuhnya apabila semua mangsa sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing lewat malam tadi. 
 
Zainal berkata, bagaimanapun jumlah mangsa banjir di daerah Rompin, Maran dan Bera menunjukkan peningkatan berbanding semalam.
 
"Bagi daerah Rompin, jumlah mangsa banjir sehingga jam 8 pagi tadi ialah 1,033 orang daripada 292 keluarga berbanding 964 mangsa (269 keluarga) malam tadi. 
 
"Begitu juga daerah Maran dengan jumlah terkini mangsa banjir ialah 362 orang (99 keluarga) berbanding 341 orang (93 keluarga) semalam. Kita juga membuka 2 PPS baharu di daerah itu. 
 
"Kami juga membuka satu PPS baharu di daerah Bera menjadikan 10 PPS beroperasi di daerah berkenaan berikutan jumlah mangsa menunjukkan peningkatan iaitu 417 mangsa daripada 87 keluarga (pagi tadi) berbanding 322 mangsa (62 keluarga) malam tadi," katanya. 
 
Beliau berkata, keadaan banjir dan jumlah mangsa daerah Pekan dan Raub tidak berubah iaitu di Pekan terdapat 196 mangsa (47 keluarga) dan Raub dengan 39 mangsa daripada 12 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.