Sabtu, 28 Januari 2017

Amanah tunggu hasil rundingan PAS-PPBM

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah bersikap terbuka terhadap rundingan kerjasama sesama parti pembangkang dalam mendepani Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak. 
 
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, meskipun PAS sudah menolak kerjasama dengan DAP, adalah tidak wajar untuk membuat kesimpulan awal hala tuju kerjasama di antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). 
 
Sesetengah pemerhati melihat kerjasama PAS-PPBM akan terbantut disebabkan adanya kerjasama PPBM bersama DAP.  
 
"Kita akan melihat sehingga apakah hasil rundingan PPBM dengan PAS, kita alu-alukan rundingan itu.
 
"Kalau semua bersedia untuk masuk dalam satu pasukan pembangkang untuk mendepani BN, saya alu-alukan rundingan PAS-PPBM.
 
"Dengan DAP itu, tak apa, itu tak payah cerita pun orang tahu bahawa memang PAS tak boleh terima DAP," katanya kepada Antarapos. 
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menegaskan bahawa partinya tidak akan menjalin kembali kerjasama dengan DAP untuk pilihan raya umum depan.
 
Bagaimanapun kata Hadi, pendirian itu berbeza terhadap PPBM, di mana PAS masih terbuka untuk mengadakan kerjasama.
 
Katanya, agenda PAS dan DAP berbeza kerana PAS bukan hanya mahu menang pilihan raya tetapi juga membawa perubahan dalam masyarakat.
 
Berkenaan PPBM pula, pintu rundingan masih terbuka, walaupun pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tempoh untuk PAS berbincang sudah berakhir.
 
PPBM dan PAS bakal mengadakan perjumpaan pada 2 Februari depan bagi membincangkan kerjasama politik menuju pilihan raya.
 
Namun ada dalam kalangan pemimpin PAS menjangkakan rundingan itu tidak akan berjaya disebabkan dasar perjuangan PAS dan PPBM jelas bercanggah sama sekali.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.