BANGI
– Tindakan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa, membenarkan pemegang
Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), diterima masuk ke UniKL, bukan cara
terbaik mempromosi universiti milik Mara itu, kata Yang Dipertua
Persatuan Alumni UniKL, Muzammil Arif Kamaruddin.
“Saya
tidak faham apa yang berlaku dengan Mara pada hari ini walhal agensi ini
sepatutnya mempunyai pengerusi yang mampu membawa agenda Bumiputera
secara berterusan dan relevan dengan perubahan persekitaran.
“Saya tahu
bahawa UniKL memerlukan pelajar, tetapi ini bukanlah cara yang terbaik
mempromosikan UniKL dengan membuka ruang seluas-luasnya kepada pelajar
lulusan UEC,” katanya menerusi kenyataan disiar dalam laman Facebook
alumni itu, hari ini.
UEC adalah
Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina
Malaysia dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga
Pengurus Sekolah Cina Malaysia. Kementerian Pendidikan tidak mengiktiraf
sijil ini.
Pengiktirafan
ke atas sijil ini sering menjadi tuntutan utama Gabungan Persekutuan
Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) dan
ahli jawatankuasanya (Dong Zong).
Terdapat
tiga tahap dalam UEC, iaitu Vokasional (UEC-V), Junior (UEC-JML/JUEC)
dan Senior (UEC-SML/SUEC). Bahasa Cina menjadi bahasa pengantar bagi
kurikulum dan peperiksaan UEC-V dan UEC-JML, manakala bahasa itu juta
atau bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar bagi subjek Matematik,
Sains (Biologi, Kimia dan Fizik), Simpan Kira, Akaun dan Perdagangan.
Muzammil
berkata, Mara sepatutnya berperanan di atas landasan yang betul selaku
‘socioeconomic engineering agency’ dan sentiasa relevan di atas fungsi
utamanya, supaya agensi ini masih lagi relevan dan menepati kehendak
komuniti Bumiputera.
“Saya
merasakan kefahaman Pengerusi MARA tentang Konsep Universiti Teknikal
Mara ini telah lari pada objektif asas penubuhan universiti ini.
“Jika
Pengerusi MARA membuka ruang kepada pelajar lulusan UEC, ini akan mampu
menutup ruang sebahagian besar anak-anak Bumiputera di peringkat
pertengahan teknikal bagi meningkatkan pendidikan mereka ke peringkat
tertinggi pendidikan Mara iaitu di UniKL.
“Semua
orang tahu bahawa UniKL merupakan apex pendidikan TVET yang menyediakan
pengajian anak-anak Bumiputera sehingga ke peringkat PhD bagi
melengkapkan generasi baharu Bumiputera menghadapi cabaran akan datang,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan