Rabu, 21 Disember 2016

Kesatuan KTMB bimbang 4,000 hilang kerja selepas perjanjian

Ia berkata syarikat kereta api tertua di Malaysia itu masih boleh diselamatkan sekiranya kerajaan membekalkan lokomotif dan gerabak kargo mencukupi.


abdul-razak_ktm_600


KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini melahirkan kebimbangan dengan perjanjian antara syarikat itu dengan Perbadanan Aset Kereta Api, dengan berkata ia boleh mengakibatkan 4,000 pekerjanya hilang jawatan.

“Implikasi kepada kewujudan Railway Network Access Agreement (RNAA) akan berlaku pengurangan pekerja atau pembuangan pekerja, dijangka KTMB hanya tinggal kurang lebih 1,500 pekerja berbanding kini KTMB mempunyai 5,500 pekerja,” kata presiden kesatuan, Abdul Razak Md Hassan.

Razak berkata Kementerian Pengangkutan perlu menjana keuntungan KTMB dengan membekalkan lokomotif dan gerabak kargo mencukupi, dan berkata ia berjaya mengurangkan kerugian tahun ini disebabkan penambahan gerabak kargo daripada 30 kepada 50.

“Berdasarkan rekod pada 2015, kerugian kargo KTMB ialah RM37.41 juta berbanding 2016 kerugian setakat ini RM4.95 juta, bermakna sebanyak RM32.46 juta kerugian berjaya dikurangkan,” katanya, sambil menambah penambahan gerabak itu bermakna penjimatan satu larian tren.

“Kementerian perlu melihat ia sebagai bukti yang KTMB mampu memberi pulangan modal dan untung jika dibekalkan lokomotif dan wagon mencukupi, serta usaha pembaik pulih lokomotif dijalankan secara teratur,” katanya.

RNAA akan memberi hak kepada kerajaan campur tangan dalam operasi KTMB, termasuk menggunakan khidmat luar jabatan dan mewujudkan pelbagai pengendali atau guna sama landasan dengan memberi lesen atau hak kepada syarikat swasta menjalankan kargo.

Razak berkata cadangan itu tidak wajar kerana ia sebenarnya punca penghakisan pendapatan KTMB.

“Bantu KTMB dari sudut peruntukan lokomotif dan wagon kerana ia boleh membantu tambah pendapatan KTMB dengan tujuan menampung kos perkhidmatan Intercity yang diberi subsidi kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan KTM Intercity rugi RM119.26 juta, namun mengekalkan pendapatan RM80 juta pada tahun ini, hanya kurang RM2 juta berbanding 2015.

Bagi khidmat KTM Komuter, syarikat itu menanggung kos operasi tinggi kerana tambang subsidi kepada pengguna, dengan kerugian RM94.29 juta pada tahun ini berbanding RM115.63 juta pada 2015.

Pengurangan kerugian itu kerana kenaikan tambang di Lembah Klang, katanya.

“Penambahan 10 set ETS juga mencatatkan keuntungan RM16.7 juta pada 2016 berbanding RM500,000 tahun lalu,” katanya.

Tiada ulasan: