Rabu, 2 November 2016

Unimas tak terima dana OSF, kata Naib Canselor

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suardi menafikan institusi itu menerima sebarang geran daripada Open Society Funds (OSF) yang ditubuhkan oleh jutawan Amerika Syarikat (AS) George Soros.
 
Beliau yang dipetik Borneo Post bagaimanapun berkata, para penyelidik atau pensyarah universiti itu mungkin menerima dana melalui 'saluran tidak rasmi' tanpa pengetahuan pihak pengurusan universiti.
 
"Setakat yang saya tahu, Unimas tidak menerima apa-apa pemberian atau bantuan kewangan daripada OSF. Kami tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan OSF," beliau dipetik sebagai berkata.
 
"Ia mungkin diberikan dalam bentuk geran swasta untuk pensyarah atau penyelidik dengan universiti tidak tahu-menahu mengenainya.
 
"Dalam apa jua dana yang diterima, kami akan tentukan punca dan tujuannya. Kami periksa segala-galanya. Kita tidak terima sebarangan tawaran dana atau geran," katanya.
 
Kadim berkata demikian mengulas mengenai kandungan laporan OSF 2014 yang menyebut Unimas sebagai salah sebuah organisasi penerima dana.
 
Namun Kadim tidak menolak terdapat kemungkinan  sebahagian pensyarah terlibat dalam aktiviti luar universiti atau bekerja dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
 
"Kami tidak memantau aktiviti pensyarah di luar universiti. Dalam keadaan biasa, kami tidak memeriksa mereka. Mereka adalah pensyarah, kita perlu percaya mereka," ujarnya.
 
"Mereka sepatutnya tahu semua peraturan dan bagaimana untuk bertindak," katanya.
 
Tambah Kadim, pensyarah di universiti milik kerajaan adalah penjawat awam dan terikat dengan peraturan perkhidmatan awam.

Tiada ulasan: