Oleh Azizul Osman dan Wan Anis Ilyani Wan M, Azhar
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk PAS menunjukkan kekuatan sebenar
kepada musuh-musuh politiknya berhubung pindaan Rang Undang-undang (RUU
355) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016.
Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) Tan Sri Kadir Sheikh
Fadzil berkata, PAS membuktikan parti itu tidak dibuli oleh Barisan
Nasional (BN) sebagaimana dakwaan sesetengah pihak, biarpun diberikan
peluang di saat-saat akhir oleh kerajaan.
"PAS adalah parti besar dan antara dua parti tunjang negara jadi ia masanya untuk PAS untuk tunjukkan kekuatan.
"Tapi ini mungkin satu bukti bahawa PAS ini mainkan politik matang dan
sejahtera di mana lebih lembut di saat ramai yang tidak setuju. Tiada
masalah PAS bagi masa dan buat penerangan supaya lebih ramai faham dan
akan sokong," katanya ketika membuat lawatan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen Marang
merangkap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berjaya
membentangkan pindaan usul Akta 355 di Dewan Rakyat buat kali kedua hari
ini.
Jelasnya apa yang dibentangkan oleh Hadi hari ini hanya untuk
memperkukuhkan usul yang dibawa oleh beliau pada 26 Jun lalu dengan
menambah had hukuman penjara daripada 3 tahun kepada 30 tahun maksimun,
denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan kepada maksimum 100 sebatan
Syarie.
"Pindaan itu hanya untuk memperjelaskan apa yang beliau telah bentang
dulu. Dalam bulan Mac depan akan beri hujah dalam waktu itu semua orang
yang tidak berniat baik itu boleh lihat balik kerana pindaan itu tidak
ada apa-apa hanya untuk tingkatkan hukuman untuk pesalah supaya lebih
munasabah," katanya.
Hadi membuat pindaan itu hasil daripada perjumpaan dan taklimat khas
berkaitan RUU itu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Jamil Khir Baharom di bangunan Parlimen, pada Selasa.
Perjumpaan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu di dalam Dewan Rakyat, Hadi memohon penangguhan memandangkan
masih ramai ahli Parlimen sama ada Islam ataupun bukan Islam malah
individu perseorangan dan sebilangan masyarakat yang tidak memahami
mengapa RUU itu perlu disokong.
Justeru kata Kadir, PAS masih mempunyai masa untuk memberi penerangan dan kefahaman kepada pihak yang berkenaan.
"Perasaan perkauman ini sudah nampak mula merosot kita nampak mundur ke
belakang. Jadi saya ingat dalam masa tiga bulan ini kita dapat berjumpa
dengan pemimpin seperti MCA,MIC dan Gerakan. Mereka (parti) ini yang
bertangungjawab dalam menggubal undang-undang pada waktu dulu. Jadi
jangan mereka cuba nak buat lebih baik dengan DAP.
"Saya rasa semua orang bukan Islam pun kalau faham dia akan undi
(terima), jadi kita tunda hingga bulan Mac kita ada tiga bulan untuk
yakinkan mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.