Khamis, 3 November 2016
Khairuddin Lebih Layak Jadi Naib Presiden PPBM, Kata Orang Kuat Tun Mahathir
Orang kuat Tun Mahathir, Datuk Seri Zaeinal Abidin Omar mendakwa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan lebih layak menjadi Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berbanding dengan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Katanya, kebanyakan muka baharu yang dilantik itu, selama ini hanya membisu ketika pemimpin lain berjuang bermati-matian menentang pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Mereka yang baharu dilantik pegang jawatan tertinggi ini, saya tidak nampak keikhlasan dan pendirian melawan Najib, kita tak nak lalang yang tidak ada pendirian jadi pemimpin.
“Kita nak pemimpin yang betul-betul ikhlas, kita tidak tahu sejauh mana pendirian mereka sebab mereka tidak pernah tunjuk keberanian mereka menentang Najib, mereka hanya menumpang dan ambil kesempatan di atas kejayaan penubuhan PPBM,” katanya kepada FMT hari ini.
Pengumuman ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM hari ini (di bawah) dilihat satu usaha menaikkan kedudukan anak Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir apabila dilantik sebagai Timbalan Presiden, namun begitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden juga turut mengukuhkan kedudukannya dengan meletakkan orang-orang kepercayaannya di posisi strategik.
Dua posisi strategik itu adalah Setiausaha yang disandang oleh Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Bendahari, Datuk Mohd. Salleh Bajuri.
Selain itu abang Muhyiddin, Tan Sri Abd. Aziz Yassin turut dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa PPBM.
Mengulas lanjut, Zaeinal menegaskan sepatutnya Khairuddin dilantik untuk mengisi salah seorang daripada Naib Presiden PPBM yang sekarang disandang oleh jawatan Rashid Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari dan Datuk Hamidah Osman.
“Khairuddin salah seorang individu selayaknya dilantik jawatan tertinggi, saya berjuang dari mula bersama Khairuddin menentang Najib.
“Kita lalui pelbagai cabaran, pelbagai ugutan, ancaman dan sebagainya, malah sanggup berkorban nyawa, keselamatan, periuk nasi pun kita korbankan.
“Adakah mereka itu berani buat macam itu? Mereka berani buat laporan polis, tidur dalam lokap seperti Khairuddin? Mereka semua bisu,” soalnya.
Sehubungan itu, Zaeinal mengingatkan barisan pemimpin PPBM yang tidak pernah berjuang untuk penubuhan parti supaya tidak membelakangkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membuat keputusan kerana kekuatan parti terletak pada aura bekas perdana menteri itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan