Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: PAS menolak tanggapan bahawa parti itu sedia berunding
dengan semua parti pembangkang dalam memastikan satu lawan satu untuk
berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan
datang.
Sebaliknya Ketua Pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz menganggap,
kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam diputar belit
oleh pihak media.
Ujarnya, kenyataan 'jangan kacau rumah tangga kami' sebagaimana
disebut Hadi itu tidak merujuk kepada mana-mana pihak, termasuk Pakatan
Harapan (PH) dan DAP.
"Sebagaimana Hadi kata semalam perbincangan PAS adalah dengan parti
yang tidak kacau rumah tangga PAS. Yang media sebut akan ada kerjasama
dgn PH itu adalah kenyataan media bukan daripada Hadi. Saya ikuti video
itu semalam dan jawapan Hadi pendek sahaja dan beliau sebut bahawa
jangan kacau rumah tangga.
"Itu merujuk kepada parti-parti yang tak kacau rumah tangga PAS. Jadi
kita tahu siapa yg kacau dahulu. Apa yang Hadi sebut semalam itu bukan
keputusan baru. Bukan pusingan-U bahkan keputusan lama bahawa PAS hanya
berunding dengan parti-parti yang tak ada rekod buruk dengan PAS Dalam
sejarah hubungan dalam Pakatan Rakyat dahulu," jelasnya kepada pemberita
ketika di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam Hadi memberi amaran 'jangan kacau dalam rumah kami,' sekaligus
membayangkan parti itu tidak akan berkompromi dalam isu agihan kerusi
tradisi milik mereka.
Amaran itu disuarakan Hadi meskipun PAS ujarnya menyatakan kesediaan
membuka pintu rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjayakan
prinsip satu lawan satu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Nik Abduh kemudiannya diajukan mengapa menyifatkan kenyataan Hadi
diputar belit, sedangkan ia menyusul selepas Mursyidul Am PAS, Hashim
Jasin menyatakan kesediaan parti itu untuk mengadakan pertandingan satu
lawan satu.
"Tetapi beliau tidak merujuk kepada PH. Beliau buat kenyataan umum
bahawa PAS memang setuju jika diadakan pertandingan satu lawan satu
iaitu dua penjuru dan asasnya kkta bersetuju. Namun perbincangan itu
tidak merujuk kepada perbincangan (bersama) PH. PH itu media sahaja
tambah," balas Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.
Menegaskan lebih lanjut, PAS katanya tidak akan berunding dengan DAP
meskipun tujuan satu lawan satu tetap dimahukan oleh pembangkang.
"Isu DAP kita sudah jawab dahulu yang mana kita tidak akan berunding
dengan DAP. Strategi menghadapi PRU14 adalah strategi takkan saya nak
buka? Saya pun tak tahu strategi itu bagaimana," tegasnya sambil
menambah perbincangan hanya dilakukan bersama parti yang tidak
mengganggu PAS sahaja.
Sementara itu dalam isu berlainan, Nik Abduh menyerahkan jemputan PH
untuk menghadiri Konvensyennya 12 November depan kepada keputusan pucuk
pimpinan parti.
"Itu perlu tanya Setiausaha Agung PAS," katanya.
Semalam Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli memaklumkan sudah
menghantar jemputan kepada PAS untuk menghadiri konvensyen PH dan akan
menghantar jemputan kedua untuk membincangkan strategi satu lawan satu
selepas parti berkenaan menyatakan kesediaannya untuk berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan