Alyaa Alhadjri
Pemimpin baju merah yang berkaitan dengan Umno, Datuk Seri Jamal Md
Yunos mahu penyokongnya untuk berhimpun dan membantah di luar pejabat
Malaysiakini Sabtu ini.
“Kami lihat tempat ini (pejabat Malaysiakini) sesuai kerana
Malaysiakini adalah juga penerima dana (George) Soros,”katanya kepada
pemberita di luar balai polis daerah Dang Wangi petang ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk
Bandar Kuala Lumpur Datuk Md Amin Nordin Abdul Aziz yang berkata Dataran
Merdeka adalah kawasan larangan bagi penyokong baju merah dan juga
kepada penyokong BERSIH.
“Saya menghormati apa jawapan Datuk Bandar. Kami telah memohon dan
lakukan apa yang sepatutnya,” kata Jamal yang juga adalah Ketua Umno
Bahagian Sungai Besar.
Jamal sebelum ini telah membuat laporan polis terhadap BERSIH atas
dakwaan bahawa pakatan reformasi pilihan raya itu adalah penerima dana
daripada Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan oleh jutawan,
George Soros.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan berkata adalah hak demokrasi bagi kumpulan baju merah mengadakan bantahan secara aman.
"Kami telah memberikan penjelasan terperinci mengenai dana yang
diperolehi daripada Open Society Foundation (OSF) dan lebih daripada
bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya ada siasatan.
"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Malaysiakini bukan mahu menjatuhkan kerajaan tetapi sebaliknya menuntut mereka yang berkuasa bertanggungjawab terhadap rakyat.
“Ini adalah kepada peranan asas mana-mana organisasi media," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan