Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Kerajaan sewajarnya menetapkan harga siling bahan api bagi
mengelakkan rakyat terus terbeban dengan kenaikan harganya yang
ditentukan berdasarkan sistem apungan terkawal.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana sistem
apungan terkawal akan sentiasa mendedahkan rakyat kepada kenaikan harga
petrol secara berterusan.
Malah saran Nasrudin, kerajaan mesti menampung lebihan kos daripada
harga siling tersebut dengan subsidi terhadap bahan api berkenaan.
"Harga baru ini juga tidak bertepatan dengan harga semasa minyak mentah
global yang berada pada purata harga AS$43.93 setong setakat ini dan
bagi keseluruhan tahun 2016 ia diunjurkan berada pada purata harga
AS$44.78 setong; dianggap masih rendah kerana berada di bawah paras
AS$50 setong.
"Bahkan, harga bahan api ini meneruskan kejatuhannya hari ini selepas
pengeluar bukan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) tidak
menyatakan sebarang komitmen untuk menyertai usaha mengehadkan paras
output bagi meningkatkan harga bahan api itu.
"Jadi, mengapa Kerajaan masih menaikkan harga runcit bahan api ini?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik 15 sen seliter mulai hari ini (1 Novemver).
Harga runcit baru bagi RON95 ialah RM1.95 seliter dan RON97 pula RM2.30
seliter. Manakala harga runcit baru bagi diesel pula RM1.90 seliter.
Dalam pada itu tambah Ahli Parlimen Temerloh itu lagi, kerajaan wajar
mengkaji semula formula penentuan harga petrol dan diesel, dengan
mengambil kira aspek perubahan harga minyak global, rizab penampan
negara dan kadar inflasi tempatan sebagai faktor penentu.
"Sewajarnya, dalam keadaan rakyat terpaksa berjimat, kerajaan perlu lebih berhemat.
"Selain dikaji saiz kabinet yang terlalu besar, setiap Menteri boleh
menunjukkan teladan dengan pemotongan 20% gaji bulanan, serta
memulangkan elaun minyak, tol, percutian, dan keraian, supaya mereka
dapat merasai bebanan golongan bawahan," katanya lagi.
Untuk rekod, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dan diesel akan
ditetapkan mengikut sistem pengapungan terkawal, bermula 1 Disember
2014. Sistem yang sama digunapakai untuk menentukan harga RON97 sejak
Julai 2010.
Kerajaan berkata pelaksanaan apungan terkawal dalam menentukan harga
bahan api runcit berasaskan harga minyak mentah dunia mampu memberi
penjimatan sehingga RM 20 bilion setahun, yakni penjimatan tersebut
boleh digunakan untuk pembangunan sosioekonomi negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan