Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata beliau tersinggung
dengan dakwaan kerajaan negeri mendalangi usaha mensabotaj bekalan air
bersih membabitkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih.
Elizabeth berkata laporan media semalam menyebut Menteri Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar menuduh
kerajaan negeri yang menjadi dalang di sebalik krisis bekalan air di
negeri itu.
"Saya amat marah dan tersinggung apabila saya baca Menteri KPKT semalam
dalam satu laman web menyatakan bahawa kerajaan negeri yang buang bahan
tercemar tersebut.
"Ini adalah keterlaluan tapi Menteri Alam Sekitar dengan timbalannya
memang membantu, dan bawa pegawai," katanya merujuk kepada kenyataan Noh
Omar di Parlimen semalam.
Antarapos semalam melaporkan Noh sebagai menggesa pihak berkuasa
menjalankan siasatan bagi membuktikan siapakah sebenarnya dalang yang
memulakan pencemaran bau di Sungai Buah, Negeri Sembilan hingga
mengakibatkan LRA Semenyih terpaksa ditutup sekaligus menjejaskan lebih
sejuta pengguna.
Bagaimanapun, Noh ketika bercakap kepada pemberita tidak pula membuat
tuduhan bahawa kerajaan negeri Selangor adalah dalang tersebut.
Dalam pada itu menurut Elizabeth, kerajaan negeri Selangor akan
mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Sembilan atas
kegagalan untuk membersihkan sisa pencemaran di kawasan tersebut.
"Tindakan undang-undang akan dibincang oleh Exco pegawai undang-undang
Selangor kalau ada tindakan, kita perlu buat keputusan dan siasat pada
akhirnya tapak itu perlu dibersihkan dan dirawat serta merta tiada bahan
tercemar keluar selepas rawtaan itu," katanya ketika menjawab
pertanyaan lisan tambahan ADUN Balakong Ng Tien Chee.
Elizabeth turut memberitahu usaha pembersihan di kawasan Sungai Buah masih dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan