MALAYSIAKINI
Walaupun perdana menteri kemungkinan besar tidak akan didakwa di
mahkamah, Datuk Zaid Ibrahim membuat spekulasi berkaitan jumlah ikat
jamin jika perkara itu benar-benar berlaku.
Beliau cuba membandingkan jumlah ikan jamin RM1 juta yang dikenakan
terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang dianggap amat
tinggi.
Menjelaskan keadaan itu, Zaid berkata trend itu bermula dengan kes
bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo yang didakwa terlibat
kesalahan melibatkan nilai beberapa juta ringgit.
“Walaupun mungkin tidak akan didakwa, Najib akan menarik ikat jamin,
berdasar prinsip diguna pakai oleh mahkamah,” katanya sambil menyifatkan
perkara itu “betul-betul gila”.
“Jumlah ikat jamin tidak patut bergantung kepada jumlah wang diambil oleh tertuduh,” katanya di Twitter.
Datuk Seri Najib Razak sudah berulang kali menafikan dakwaan salah guna dana awam untuk tujuan peribadi.
Anggota parlimen Pekan sebaliknya mendakwa terdapat konspirasi untuk menjatuhkannya.
Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga sudah membersihkannya daripada sebarang salah laku.
Bagaimanapun ia tidak mampu memadamkan serangan berterusan dalam kes
kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya.
Sementara itu, dalam kes Lim, Zahid berkata jumlah 100,000 sudah cukup untuk ikat jamin Lim.
“Ia hanya untuk pastikan dia hadir mahkamah. Lim sebagai penyandang ketua menteri sudah tentu akan hadir perbicaraan.
“Beliau tidak akan lari ke mana-mana,” katanya.
Lim semalam didakwa bawah dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi George Town
bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan
Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan itu dibuat susulan kelulusannya terhadap permohonan
Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar sebidang tanah daripada status
pertanian kepada perumahan.
Beliau juga berdepan kes pembelian banglo daripada ahli perniagaan Phang Li Koon, bawah harga pasaran RM4.27 juta.
DAP semalam mencairkan dana mereka untuk membayar ikat jamin Lim.
Mereka juga berjaya mengumpul lebih RM1 juta tidak sampai 24 jam
kempen kutipan dana bagi menampung kos ikat jamin yang dimulakan petang
semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan