MALAYSIAKINI
Anggota UMNO Bahagian Pagoh perlu menerima kenyataan selain memahami
sistem organisasi parti yang memerlukan pengganti jika seseorang
pemimpin dipecat, kata Pemangku Ketuanya Ismail Mohamed.
Beliau berkata adalah menjadi lumrah berlakunya pemindahan tampuk
kepimpinan dalam organisasi jika seseorang ketua dalam organisasi
terbabit sudah tiada.
"Apabila (Ketua UMNO Bahagian Pagoh) Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat
(daripada parti pada 24 Jun lepas), kena faham ... jika ketua tiada,
akhirnya (diturunkan) kepada timbalan dan jika timbalan dipecat pun,
akhirnya (diturunkan) kepada naib ketua.
"Kita perlu terima hakikat ini dalam organisasi ... pemimpin tidak
selamanya di situ (memegang jawatan) kerana satu hari nanti orang lain
sudah tentu akan mengambil alih," katanya kepada pemberita selepas
melancarkan program Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri di Pasar Tani
Datin Halimah, Larkin, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Kumpulan Bertindak UMNO Pagoh
(KBUP) Datuk Zaaba Aman yang menggesa UMNO bahagian terbabit digantung
segera atau diambil alih oleh UMNO Pusat bagi memastikan kawasan
tersebut 'bersih' dan tidak dijadikan platform untuk menyokong
perjuangan individu.
Ismail meminta semua pihak untuk memahami bahawa perjuangan anggota
bahagian tersebut adalah kerana parti dan bukannya kerana individu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan