Sabtu, 2 Julai 2016

Syarikat kontroversi Lynas berhentikan pekerja warga tempatan

MALAYSIA DATELINE
 
 
Papan tanda arah ke Lynas Malaysia Sdn Bhd.Papan tanda arah ke Lynas Malaysia Sdn Bhd.


Syarikat pemprosesan nadir bumi yang diselubungi kontroversi sejak awal beroperasi di negara ini, Lynas Malaysia Sdn Bhd kini berhadapan masalah apabila dilaporkan memberhentikan kakitangannya tanpa prosedur wajar.

Menerusi emelnya kepada Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Badan Perhubungan Umno Pahang,
Kementerian Sumber Manusia dan Pejabat Perdana Menteri, seorang kakitangan syarikat terbabit kesal kerana aduan yang dikemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) tentang pemberhentian pekerja Lynas tidak dijawab.

"Mohon perhatian dan tindakan segera YB oleh kerana aduan kepada KSM seperti dilampiran sehingga kini tiada tindakan susulan.

"Bantulah kami warga Kuantan dan Pahang khususnya dan rakyat Malaysia amnya yang tertindas di tanah air sendiri oleh warga asing.

"Kami masih mempunyai anak isteri dan keluarga yang perlu ditanggung tatkala ekonomi merudum serta pasaran pekerjaan yang lembab, agak sukar memperoleh pekerjaan dengan segera.

"Maaf kerana terpaksa merahsiakan (fake) identiti atas faktor tertentu, namun saya merupakan salah seorang dari pekerja yang terlibat," kandungan emel itu dipetik.

Aduan kakitangan Lynas menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam didakwa tidak berjawabAduan kakitangan Lynas menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam didakwa tidak berjawab

Dalam laporan kepada KSM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) bertarikh 21 Jun lalu, seorang kakitangan Lynas memohon siasatan terperinci dilakukan kementerian terhadap plan pemberhentian pekerja yang didakwa dilakukan secara tidak sah.

Ini membabitkan pemberhentian 24 jam tiga penyelia tempatan manakala semua pekerja bahagian makmal (lab) syarikat tersebut diberhentikan (dianggap kosong) dan perlu memohon semula jawatan dalam proses penstukturan semula.

"Malah jika ingin jawatan lain selain bahagian lab juga perlu memohon semula, bukan ditukar secara automatik.

"Difahamkan beberapa jawatan lab juga akan diisi oleh pekerja warga asing sedangkan pembubaran di atas dasar redundancy," lapor kakitangan terbabit.

Kementerian juga dimaklumkan bahawa 30 tenaga kerja tempatan terlibat dalam penstrukturan semula itu.
Lynas memiliki kilang memproses nadir bumi berharga RM700 juta di Gebeng, Kuantan.

Kilang itu menggunakan bahan mentah dari Mount Weld, Australia Barat bagi mengeluarkan produk nadir bumi.

Bantahan terhadap pembinaan kilang itu memuncak pada 2009 kerana nadir bumi yang diproses diyakini mempunyai bahan radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan penduduk.

Tiada ulasan: