MALAYSIAKINI
Kira-kira 100 penyokong berkumpul di luar penjara Sungai Buloh untuk
menunjukkan perpaduan atau solidariti dengan mantan Ketua Pembangkang
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini adalah tahun kedua, beliau menyambut Aidilfitri di penjara.
Kumpulan berkenaan berkumpul di persimpangan di luar penjara pada jam
9 malam, memandangkan jalan menuju ke pintu penjara itu telah dikepung.
Para peserta begitu bersemangat dengan menyalakan pelita dan lilin,
dan meletakkannya di sekitar persimpangan sementara menunggu ketibaan
keluarga Anwar.
Ketika Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyampaikan ucapannya,
seorang wanita yang berusia meluru ke hadapan untuk menyerahkan
kepadanya sebatang lemang dan sebungkusan kuih raya.
"Ah Soh (Makcik) juga telah memberikan saya buku ‘The Three Kingdoms’," kata Nurul dengan senyuman simpul.
"Katanya, saya mesti menyerahkan buku ini kepada Anwar dan seluruh
kepimpinan Pakatan, kerana jelas sekali kamu tidak menggunakan strategi
terbaik dalam perang menentang BN.
“Oleh itu, sila baca 'The Three Kingdoms'," kata Nurul, merujuk kepada wanita yang menyerahkan kepadanya kuih raya berkenaan.
Menurutnya, wanita itu, Gan Siew Kin, telah menyokong mereka sejak 1998.
Gan kemudiannya memberitahu Malaysiakini bahawa dia telah mencari
terjemahan bahasa Inggeris buku ini untuk sekian lama akhirnya seorang
rakannya menjumpanya di Beijing.
'The Romance of the Three Kingdom' adalah sebuah novel sejarah yang
berkisah ketika China dalam keadaan bergelora kira-kira 1,200 tahun lalu
apabila empayar itu telah dibahagikan kepada tiga kerajaan yang
berperang.
"Saya memberikan mereka biskut dan makanan kerana ia Hari Raya," kata Gan.
Bersama-sama dengan penyokong, pelbagai pemimpin pembangkang turut hadir.
Mereka termasuk Presiden PKR yang juga adalah isteri Anwar, Datuk
seri dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR Tian Chua, Ahli
Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran
dan ADUN Hulu Kelang Saari Sungib.
Hadir sama adalah kartunis Zunar bersama-sama dengan penyanyi
Dayangku Intan, yang menyanyikan beberapa lagu Hari Raya untuk
menghiburkan orang ramai.
Pada akhir majlis itu, penyokong menyalakan bunga api dan merakamkan gambar dengan pemimpin pembangkang yang hadir.
Wan Azizah berkata pada tahun lalu, keluarga mereka hanya dibenarkan melawat Anwar pada hari kelima Aidilfitri.
"Tahun ini, mereka kata kita boleh melawat Anwar pada hari kedua raya," katanya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati
bersalah meliwat - dakwaan liwat keduanya dalam satu dekad - dalam
perbicaraan yang dikecam oleh pejuang hak asasi manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan