Oleh Shuhaniza Said
AMPANG: Suara anak-anak kecil yang riang bermain riuh kedengaran saat
krew Antarapos menjejakkan kaki di hadapan rumah teres satu tingkat ini.
Siapa menyangka, di sebalik keriangan dan keceriaan anak-anak kecil
ini, tersembunyi seribu kisah duka yang melatari kehidupan mereka,
meskipun masih terlalu mentah untuk memahami sejarah pahit akibat
kesilapan ibu bapa sendiri.
Anak-anak kecil ini adalah sebahagian daripada penghuni Rumah
Perlindungan Nur Hati, sebuah kediaman yang menempatkan insan kurang
bernasib baik yang lahir daripada remaja yang menjadi mangsa rogol serta
keterlanjuran pasangan.
Menurut pengasas rumah perlindungan ini, Muhammad Zaid Mohd Shah, 34,
selain menempatkan anak-anak tidak sah taraf, ia juga menempatkan ibu
tunggal, remaja bermasalah, kanak-kanak mangsa dera, warga emas dan
mualaf.
"Yang mengasaskan adalah ibu saya sendiri kerana sifat kasih sayangnya.
Saya ingat lagi dari saya kecil, mak saya tak boleh lihat orang susah.
Ada orang susah saja dia akan bawa balik, dia akan tolong.
"Sehinggalah rumah ini makin ramai pada 2004 dan kita daftarkan sebagai
Pertubuhan Kebajikan Nur Hati kerana kita nak elak masalah di belakang
hari sebab kita menjaga ramai penghuni yang tidak sah taraf dan pelbagai
masalah sosial," ujarnya.
Menurut Muhammad Zaid, sejarah bagaimana tertubuhnya Rumah Perlindungan
Nur hati ini adalah berdasarkan pengalaman hidup beliau dan
adik-beradik yang ditinggalkan insan bergelar ayah ketika masih kecil.
Keperitan ibunya yang dipanggil umi dalam membesarkan mereka lima adik
beradik menjadi titik bermulanya rumah itu mula menerima golongan kurang
bernasib baik.
"Permulaannya, umi sangat merasa simpati dengan orang-orang yang bermasalah kerana kita pernah alami masalah rumah tangga.
"Dari situ terdetiknya perasaan berkasih sayang, rasa simpati dengan
kanak-kanak yang terbuang, remaja bermasalah dengan ibu tunggal mangsa
penderaan. Dengan sendirinya umi orang yang sangat tersentuh dan naluri
umi keibuan," ujar wanita berusia 60 tahun itu.
Setakat ini, Rumah Perlindungan Nur Hati menempatkan 47 penghuni.
Daripada jumlah itu, enam daripadanya bayi, 16 orang kanak-kanak, lapan
orang remaja, enam ibu tunggal, empat warga emas dan selebihnya mualaf.
Selain itu, rumah perlindungan ini turut berperanan sebagai rumah
transit bagi gadis yang mengandung akibat terlanjur dengan teman
lelaki.
Sejak tahun 2000, rumah perlindungan ini berjaya menyelamatkan beratus
gadis malang yang hilang arah dan tempat bergantung selepas ditinggalkan
kekasih dan dibuang keluarga akibat terlanjur.
"Di sinilah kita beri sokongan moral kepada mangsa seperti itu supaya
dia bertahan dan dia dapat melahirkan anak dengan selamat. Kes transit
ini kebanyakannya kita cuba serahkan kepada keluarga supaya anak (bayi)
itu tak putus salah silah," kata Muhammad Zaid.
Ketika ditanya mengenai pengisian yang diterapkan kepada penghuni di
sini, ujar Muhammad Zaid, pelbagai aktiviti disusun sesuai dengan
peringkat umur masing-masing.
"Di sini, untuk kelas, kita ada kelas pengajian. Agak padat juga, cuma
pada bulan Ramadhan ini kita kurangkan aktiviti itu sebab kita ada
program di masjid. Program terawih dan sebagainya.
"Sebelum ini kita ada program seperti hari Isnin kita ada kelas
Tasawuf, Selasa ada penghayatan sunnah, Rabu pula pengajian Islam, dan
Khamis kelas pengajian Al-Quran. Terapi jiwa lebih kepada agama. Dalam
masa yang sama saya lajnah pemuda di Masjid Bukit Indah, jadi
program-program kita buat secara bersama daripada masjid ini," ujar
beliau.
Sementara itu bagi penghuni dewasa, mereka akan mengikuti kursus kemahiran seperti menjahit manik dan membuat kek cawan.
Bergerak secara sendirian atas nama NGO, Rumah Perlindungan Nur Hati
ada kalanya berdepan dengan kekangan kewangan. Ini kerana perbelanjaan
bulanan termasuk sewa tiga unit rumah, utiliti, persekolahan dan
sebagainya memakan belanja yang besar.
Ujar Muhammad Zaid, pihaknya sedang berusaha mendapatkan bantuan atau
dana daripada badan berwajib, namun proses tersebut agak sukar kerana
masalah melibatkan dokumentasi.
Bagaimanapun, cabaran getir tersebut akhirnya dibalas dengan
'kemanisan' apabila ramai pihak mula tampil memberi perhatian dan
sumbangan, selepas artikel mengenai rumah perlindungan itu diviralkan
seorang insan.
"Tapi kuasa Allah itu hebat, memang kita percaya dan yakin. Waktu saya
di Dhoha, orang di rumah beritahu rumah Nur Hati diviralkan. Selesai
ibadah umrah, saya pulang ke hotel dan buka telefon bimbit, beratus
panggilan telefon, ada juga orang terus nak hantar sumbangan. Kita
sangat terkejut, Ya Allah, Allah terus makbulkan (doa).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan