Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Presiden Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0, Ambigia Sreenevasan mempersoal dwi-standard Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang membersihkan Najib daripada skandal 1MDB, namun mengambil tindakan pantas terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
“Peguam Negara harus bertindak mengikut kepentingan masyarakat, bukan
kepentingan Perdana Menteri dan pengikutnya,” tegas Ambiga.
Ditanya tentang sama ada Guan Eng perlu bercuti dari jawatan, Ambiga menjawab dengan mempersoal kegagalan Datuk Seri Najib Razak yang enggan mengambil cuti sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika siasatan terhadapnya masih dijalankan.
“Tanya kembali soalan itu apabila Perdana Menteri sudah melakukannya (bercuti daripada jawatan),” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Menurut Ambiga, dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, seorang Perdana Menteri yang didakwa terpalit dengan skandal kewangan yang seserius itu wajar berundur daripada menguruskan hal ehwal negara.
“Bagaimanapun, apa yang kita ada hari ini bukanlah demokrasi sebaliknya sebuah bentuk amalan diktaktor.
“Perdana Menteri tidak mahu mengikut undang-undang dan sebaliknya melanggar lebih banyak undang-undang dengan mengganggu perjalanan siasatan terhadapnya,” katanya.
Dalam perkara berkaitan, Ambigia berkata terdapat kemungkinan wujud muslihat politik untuk mendakwa pemimpin-pemimpin pembangkang dan mendesak supaya mereka berundur. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan