Bekas perdana menteri yang paling lama memerintah, Tun Dr Mahahthir Mohamad menyifatkan, negara ini sedang menuju kehancuran kerana rasuah diperguna secara meluas untuk menguasai segala-galanya.
Dalam tulisan beliau dalam blognya, Mahathir berkata, dalam pilihanraya kecil baru-baru ini ramai daripada pengundi gembira menerima duit, beras dan alatan elektrik.
"Mereka tentu tahu mereka telah menerima suapan rasuah. Yang memberi pun tentu tahu mereka melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan juga di sisi agama yang mereka anuti.
"Kerana rasuah inilah, pihak yang menyogok mendapat kemenangan," kata beliau yang dipercayai merujuk kepada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Bagi Mahathir, k emenangan yang didapati dengan cara tidak halal bukanlah kemenangan yang sebenar. Seperti mana barangan yang dicuri tidak halal diguna atau dimakan, demikian juga kemenangan itu tidak halal.
"Di dunia ini mereka tidak dapat dihukum kerana mereka sendiri yang berkuasa ke atas proses mendakwa dan menghukum. Tetapi perbuatan tidak mendakwa dan menghukum juga salah dari segi undang-undang duniawi serta agama. Ini juga melipatgandakan kesalahan dan dosa perlakuan mereka. Sogokan yang diberi dan diterima oleh penerima sudah dua kali haram," katanya.
Katanya, punca duit yang disogok juga haram kerana ia didapati dengan cara haram.
"Mereka yang menerima dengan ini menerima duit tiga kali haram," katanya.
"Dalam Islam kita diberi hak bertaubat. Tetapi taubat kita hanya diterima Allah s.w.t. jika kita tidak mengulangi perbuatan salah yang telah kita lakukan. Mereka yang menunggu-nunggu untuk sogokan dimasa hadapan harus ingat pesanan dalam Al Quran berkenaan bertaubat," tulis beliau.
Katanya, rasuah adalah suatu jenayah yang keji dan kotor.
Ia merosakkan masyarakat, menindas yang miskin, menghalang kemajuan dan kesejahteraan, melemahkan dan mempermudahkan penjajahan oleh bangsa lain, katanya.
"Mereka yang cuba menghalalkan rasuah tetap termasuk dalam golongan penjenayah yang berdosa. Lebih buruk lagi ialah mereka yang tahu akan larangan agama terhadap rasuah namun mereka cuba halalkan rasuah. Dosa mereka tentu berlipatganda jika kerana mereka dakwa bahawa rasuah itu halal maka orang lain akan menerima rasuah.
"Amatlah menyedihkan apabila didapati yang teramai dari orang yang menyuap dan memakan rasuah ialah orang Islam. Sebabnya ialah kerana tidak ada tekanan oleh mereka yang bertanggungjawab mendidik akan haramnya rasuah dan pentingnya ia ditolak. Justeru itu ia tidak termasuk dalam nilai hidup yang dipegang sebagai sebahagian dari budaya orang Islam Malaysia sekurang-kurangnya," katanya.
Bagi beliau, harapan masyarakat kepada undang-undang mencegah rasuah tidak mungkin berjaya sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan