Sabtu, 2 Julai 2016

Muhyiddin nafi sertai Nothing to Hide 2.0


Muhyiddin Yassin


SHAH ALAM - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menerima sebarang jemputan penganjur atau bersetuju dengan mana-mana pihak untuk menghadiri program ‘Nothing to Hide 2.0’, esok.

Pegawai Khasnya, Datuk Mohd Nardin Awang berkata, pihaknya percaya program tersebut palsu.

“Merujuk kepada hebahan program ‘Nothing to Hide 2.0’ pada Ahad, 3 Julai 2016 bertempat di Kelab Darul Ehsan anjuran Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang kononnya melibatkan Tan Sri Muhyiddin sebagai tetamu jemputan adalah dimaklumkan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang jemputan daripada penganjur atau menyatakan persetujuan kepada mana-mana pihak untuk menghadiri program tersebut.

“Pihak kami percaya program ini adalah palsu dan hebahan mengenainya dibuat oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab semata-mata bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dan mencemarkan nama baik Tan Sri Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sebelumnya, hebahan mengenai program tersebut dilakukan secara meluas di media sosial oleh Facebook yang menggunakan nama JMM sejak beberapa hari lalu.

Hebahan itu mendakwa program tersebut sebagai majlis penerangan khas hak ehwal semasa dan selain nama Muhyiddin, nama Presiden JMM, Azwanddin Hamzah dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan turut tercatat sebagai tetamu.

Sementara itu, Azwanddin ketika dihubungi sebentar tadi tidak mahu mengulas apa-apa sebaliknya beliau berjanji akan mengulas isu berkenaan kemudian.


Tiada ulasan: