Kepimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilihat gagal menyekat kemasukan pengaruh militan IS ke Malaysia ekoran beberapa kejadian keganasan berlaku, kata Pemuda Amanah Nasional, Mohd Fakhrurazi Mokhtar.
Menurutnya, rakyat tambah terkejut apabila dua anggota polis berpangkat rendah turut ditahan selain 13 individu lagi yang dipercayai terjebak dengan aktiviti IS di negara ini.
"Ini kelemahan anggota polis di bawah pimpinan KPN (Ketua Polis Negara) sendiri," ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.
Mengulas pengesahan Khalid semalam tentang wujudnya militan IS tempatan sebagai dalang dalam letupan di sebuah pusat hiburan di Puchong, 28 Jun, Fakhrulrazi berkata, insiden tersebut berlaku pada ketika tumpuan polis lebih kepada aktiviti pemimpin parti pembangkang.
"Dakwaan Khalid bahawa kumpulan IS tempatan diarah menyasarkan pemimpin kanan kerajaan termasuk Perdana Menteri, pegawai polis, hakim dan pusat hiburan amat menimbulkan kehairanan kepada rakyat Malaysia," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya Khalid benar-benar serius menangani ancaman militan IS dengan tidak menjadikan fokus polis untuk memantau penggunaan media sosial yang didakwa sebagai saluran kepada arahan serangan bagi kepentingan politik pihak tertentu.
"Kita tidak nafikan komitmen anggota polis keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan pengganas di negara ini.
"Namun, sikap KPN sebelum ini yang terlalu menumpukan pemimpin dan aktivis politik parti pembangkang mengundang kekecewaan sebilangan rakyat Malaysia," jelasnya.
Beliau berkata, segenap lapisan rakyat termasuk di pihak Pakatan Harapan sama sekali menolak ekstremisme yang dibimbangi menjejaskan keamanan masyarakat. "Kita menyokong sepenuhnya apa sahaja pendekatan dan langkah berkesan oleh pihak PDRM untuk memerangi ancaman militan daripada merebak ke negara ini," tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan