Isnin, 18 Julai 2016

Konsep sewa beli PPR permudah miliki rumah

Konsep sewa beli PPR permudah miliki rumah
Noh (dua, kiri) bersama isteri, Puan Sri Prof Dr Aishah Salleh (empat, kiri) hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPKT dan Umno Selangor, semalam.
 
 
SHAH ALAM - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), akan mengemukakan kertas cadangan kepada jemaah menteri untuk memperkenalkan sistem pemilikan sewa beli bagi rakyat yang tidak berkemampuan memiliki rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, sistem baharu itu perlu dilaksanakan sebagai membantu golongan tersebut memiliki kediaman selain mengatasi kekangan sumber kewangan untuk membuat bayaran awal (deposit).

"Daripada permohonan yang diterima, golongan ini biasanya layak membeli rumah, tetapi tidak lulus mendapat pembiayaan bank,  jadi KPKT akan bantu mereka miliki rumah tanpa pinjaman, bayar seperti sewa bulanan dalam tempoh masa yang akan ditentukan pada kadar yang tidak membebankan," katanya pada sidang media sempena rumah terbuka Aidilfitri KPKT di sini, semalam.

Jelasnya, sistem ini diharap dapat mengatasi masalah perumahan yang dihadapi rakyat kurang kemampuan ketika ini.

"Di Lembah Subang 2 contohnya,  daripada 700 permohonan,  sebahagian besarnya menghadapi masalah gagal mendapat pinjaman bank.  Difahamkan, selain di Lembah Subang 2, projek PPR juga sedang dijalankan di Gua Musang, Kelantan," katanya.

Difahamkan setiap permohonan untuk memiliki rumah PPR akan ditapis oleh Lembaga Perumahan di setiap negeri.

Dalam usaha menjamin kesejahteraan rakyat, Noh berkata, kementerian juga telah meluluskan RM500,000  bagi meningkatkan prasarana ke atas rumah pangsa, perumahan kos rendah, termasuk penyelenggaraan lif, dan menghidupkan kawasan persekitaran yang sihat.  

"Kita akan pastikan mereka hidup sejahtera. Kemudahan akan diperbaiki  secara berperingkat. Untuk permulaan, bantuan baik pulih lif akan diadakan kepada komuniti rumah pangsa Desa Mentari, di Petaling Jaya, Selangor. 

"Satu unit lif akan diselenggarakan di satu blok bangunan 16 tingkat itu pada kadar segera, kerana itu janji saya suatu ketika dahulu," katanya.


Tiada ulasan: