REMBAU: Seorang suri rumah dari Rembau, Negeri Sembilan, disahkan
positif penyakit difteria, menjadikan ia kes pertama melibatkan orang
dewasa di negara ini tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa
yang berumur 41 tahun itu mula mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan
Rembau Rabu lalu, selepas mengalami demam dan mengadu tonsil membengkak,
serak suara serta sukar menelan.
"Mangsa disyaki menghidap difteria dan kemudiannya dirujuk ke Hospital
Tuanku Jaafar, Seremban dan dimasukkan ke wad untuk rawatan. Keadaan
mangsa stabil.
"Ujian makmal semalam mengesahkan mangsa positif difteria. Ini adalah
kes terpencil, rawatan prodilaksis telah diberikan kepada semua kontak
mangsa termasuk ahli keluarga serta kakitangan kesihatan dan hospital,"
katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, susulan daripada kes difteria baru itu,
iamenjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 15 termasuk lima kematian
iaitu di Melaka (tiga kes, satu kematian), Kedah (tujuh kes, satu
kematian), Sabah (empat kes, tiga kematian) dan Negeri Sembilan satu
kes.
Pada masa sama katanya, satu kes disyaki difteria melibatkan seorang
kanak-kanak berumur lapan tahun dilaporkan di Hospital Universiti Sains
Malaysia, Kelantan hari ini.
"Mangsa mengalami deman, sakit tekak, bengkak muka dan leher sejak Rabu
lepas. Keputusan ujian makmal belum diperoleh dan mangsa dalam keadaan
stabil serta telah diberikan rawatan anti-toksin difteria," katanya.
Dr Noor Hisham menjelaskan bakteria Corynebacterium diphtheriae boleh
menjangkiti tekak orang dewasa atau kanak-kanak dan ia akan berkembang
biak serta menyebabkan gejala apabila status kesihatan individu itu
tidak optima.
"Ia boleh disebarkan melalui titisan respiratori dan akan memberi
risiko kepada orang lain, khususnya kanak-kanak yang kurang daya tahan
tubuh dan mereka yang tiada antibodi kerana tidak mendapatkan imunisasi
atau status imunisasi tidak lengkap," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa memastikan setiap kanak-kanak
di bawah umur tujuh tahun mendapatkan imunisasi 5-serangkai yang
lengkap.
Langkah itu katanya akan dapat meningkatkan imuniti kanak-kanak serta
imuniti kelompok, seterusnya membendung kejadian difteria daripada terus
menjadi masalah kepada kesihatan awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan