Selasa, 5 Julai 2016

Disisih anak, Samsiah bawa diri ke Rumah Perlindungan Nur Hati

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic



AMPANG: Di kala insan seusia yang lain gembira menghabiskan sisa-sisa kehidupan bersama anak-anak dan cucu, namun, tidak bagi Samsiah Mohamad.
  
Pada usia menjangkau 70 tahun, Samsiah, 'bersendiri' tanpa kasih sayang darah daging sendiri yang sepatutnya ada di sisi bagi membalas kembali jasa insan bergelar seorang ibu.

Enggan terus makan hati, Samsiah tekad membawa diri ke Rumah Perlindungan Nur Hati, sebuah kediaman yang menempatkan insan kurang bernasib baik.

Menceritakan detik permulaan menjadi penghuni di Rumah Perlindungan Nur Hati, Samsiah atau mesra disapa opah berkata, dirinya dipertemukan secara tidak sengaja dengan wanita yang dipanggil umi (ibu), yang merupakan pengasas kepada rumah ini.

"Bila dah tua tak ada suami dan menyewa rumah seorang diri, umi kata tak perlu menyewa, dia ajak duduk sini. Itulah permulaannya," katanya ketika dikunjungi Antarapos.

Menghuni Nur Hati sejak 12 tahun lalu, opah berkata kesedihannya sedikit terubat apabila melayani keletah anak-anak kecil yang turut berlindung di rumah ini.

Selain opah, rumah ini turut menempatkan 46 penghuni lain yang terdiri daripada ibu tunggal, remaja mangsa rogol, kanak-kanak mangsa dera, bayi tidak sah taraf, warga emas dan mualaf.

"Dulu masa mula-mula memang tak ok, banyak kecil hati, duduk sorang-sorang, makan minum cari sendiri, anak-anak tak peduli, itulah asal puncanya kita bawa diri. Kasih sayang tak ada, tak ada yang sayang kita. Mereka sibuk kerja, memang tak kisah dengan kita. Itulah, kalau dah tua, memang sensitif sangat-sangat

"Kita memang nak kasih sayang anak-anak, cucu.. tapi kalau mereka buat tak tahu, lebih baik bawa diri ke sini. Kalau kamu nak tengok (lawat), sila, kalau tak mahu, tak kisah," ujarnya sayu.

Opah berkata, tiga orang anaknya tinggal di sekitar Lembah Klang. Malah ada kalanya ujar opah, anak-anaknya akan datang melawat di Rumah Perlindungan Nur Hati.

Walaupun ada di antara anak-anaknya mempelawa untuk tinggal bersama, namun opah enggan kerana 'tawar hati' di samping tidak mahu menjadi bebanan kepada mereka.

"Ada.. tapi malas, biarlah mereka buat hal sendiri. Mereka banyak tanggungan, nanti kita yang tua ini menyusahkan pula, susah lah," kata opah.

Tambahan pula kata opah, tahap kesihatannya yang agak merosot kebelakangan pastinya menjadi satu beban sekiranya tinggal bersama anak-anak.

Ditanya sama ada dirinya langsung tidak merindui anak-anak apatah lagi ketika umat Islam akan menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi, ujar opah, suasana raya lebih dirasakan meriah ketika di rumah ini.     
"Waktu malam raya tu yang seronok, masak ketupat dan sebagainya ramai-ramai. Tapi sekarang dah tak larat. tahun ini kesihatan agak kurang, keluar masuk hospital," katanya yang kini menghidap kencing manis dan asma.

Selama tinggal di rumah ini, dirinya sering 'berkongsi rasa' dengan warga emas lain yang senasib.

Enggan terus menyalahkan anak-anak, opah redha dengan nasib yang dialaminya. Walaupun demikian, namun jauh di sudut hati opah mengharapkan agar ada sinar kebahagian di hujung hayatnya sebelum dijemput menghadap Ilahi.  

"Orang tua ni sensitif, cakap sikit kita tak marah, mereka kata kita marah. Jadi, anak-anak janganlah buat mak seperti itu. Kita dah alami rasanya macam mana, sehingga bawa diri.

"Kecil hati dah sebenarnya. Bila duduk, mesti air mata mengalir, tapi sekarang dah ok," katanya sambil tersenyum tawar.


Tiada ulasan: