Selasa, 5 Julai 2016

DAP tidak sepatutnya buat siri jelajah untuk bela Guan Eng - Tunku Aziz

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang bekas tokoh DAP membidas langkah DAP menganjurkan jelajah ‘Sokong, Simpati dan Solidariti untuk Lim Guan Eng’ kerana tuduhan rasuah dihadapi Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah berkaitan undang-undang.
 
“Beratus-ratus orang lain yang kena tangkap kerana rasuah itu tidak buat siri jelajah pun. Kita bukan tidak ada sistem keadilan, jadi biarlah jalan mengikut undang-undang," kata bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim.
 
Katanya, Guan Eng tidak sepatutnya mengadakan siri jelajah itu kerana apa yang dihadapi beliau adalah berlandaskan kepada undang-undang dan beliau tidak perlu gusar sekiranya tidak bersalah.
 
"Tidak patutlah buat secara itu kerana pertuduhan rasuah itu telah dibuat berlandaskan kepada undang-undang. Jadi apa lagi nak (adakan jelajah penerangan) kepada rakyat,” katanya kepada Antarapos. 
 
Jumaat lalu, Jawatankuasa Kerja Pusat DAP memutuskan untuk membentuk satu jawatankuasa kebangsaan untuk menganjurkan jelajah sebagai tanda sokongan bagi Guan Eng. 
 
Semalam 5,000 orang menyertai program ‘Solidariti Bersama Guan Eng’ di Lebuh Pantai bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Guan Eng yang sedang berhadapan dua pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa.
 
"Kalau mengikut undang-undang ada prosedur, ini apa pula? Kalau kena tangkap katanya hilang motivasi dalam politik (political demotivated), ini apa yang dia buat? Bukankah ini situasi politik tidak bermotivasi (political demotivated demonstration), demonstrasi jalanan?
 
"Dalam situasi Guan Eng ini sebagai ketua menteri dia sepatutnya hormati undang-undang. Ada undang-undang bukan kita sebuah negara yang tidak ada undang-undang," tambah Tunku Aziz.
 
Tindakan DAP Pulau Pinang mengumpul kutipan derma RM1 juta sebagai wang ikat jamin Guan Eng turut dibidas Tunku Aziz yang menyifatkan langkah itu sekadar lakonan semata-mata untuk menunjukkan sokongan terhadap Setiausaha Agung DAP itu.
 
Malah dakwaan rasuah terhadap Guan Eng adalah bersifat peribadi kerana ia melibatkan sebuah banglo yang dibeli di bawah harga pasaran daripada pemilik yang mungkin mempunyai urusan negeri atau mendapat manfaat daripada jawatannya sebagai Ketua Menteri.
 
"Cuba kita tengok, ini duit ikat jamin boleh diambil kembali bila dah habis kes, duit itu akan bagi balik bukan kerajaan atau mahkamah nak pegang, jadi ini satu lakonan untuk tunjuk rakyat sokong dia. Yang RM1 juta itu dari seorang sahaja yang bagi bukan 10,000 orang. Cuba kita tengok apa motif dia. 
 
"Lagipun satu lagi ini nak buat rakyat keliru pasal RM1 juta kononnya untuk ikat jamin, macam saya katakan tadi itu bukan kerajaan nak pegang, dah habis kes nanti akan diserahkan kembali. RM1 juta itu hanya untuk pastikan dia tidak boleh larikan diri," katanya lagi.
 
Guan Eng pada Rabu didakwa dibawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membenarkan permohonan pengezonan semula lot pertanian kepada lot perumahan milik syarikat Phang Li Koon, Magnificent Emblem Sdn Bhd; dan Seksyen 165 Kanun Keseksaaan kerana membeli hartanah pada harga bawah nilai pasaran.
 
 
 

Tiada ulasan: