Oleh: YEE XIANG YUN
JOHOR BARU: Bukan sahaja
menjalankan tanggungjawab memadam kebakaran di sebuah kedai, seorang
anggota bomba Hairul Mat Nin bertindak memulangkan wang tunai sebanyak
RM30,000 yang ditemuinya ke pemilik premis tersebut.
Hairul, 33, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Johor Baru menemui sejumlah wang tunai itu di dalam sebuah kedai dua tingkat di Jalan Tanjung, Taman Penggawa Barat.
Beliau antara 16 anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi kebakaran kira-kira pukul 4 petang Jumaat.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemilik kedai memberitahu terdapat sejumlah wang disimpan di tingkat atas dan meminta kami untuk menyelamatkannya jika boleh.
Hairul berkata adalah menjadi kebiasaan anggota bomba terjumpa wang tunai atau barang berharga semasa memadam kebakaran tetapi insiden pada Jumaat merupakan antara nilai terbesar pernah dijumpai.
"Pemilik premis memberi kepercayaan kepada saya untuk mencari wang tunai itu.
"Kami perlu mengembalikan kepercayaan ini dengan memulangkan wang tersebut kepada pemiliknya.
"Walaupun ia tugas sukar untuk memadam kebakaran terutama pada bulan Ramadan, apabila melihat senyuman pemiliknya ia sesuatu yang tidak ternilai," katanya.
Hairul yang berkhidmat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat selama 14 tahun memberikan wang tersebut kepada komander operasi jabatan itu, Khairul Azhar Abdul Aziz dan mereka bersama-sama memulangkannya kepada pemilik premis, Teo Kian Yong.
"Kami memuji sikap dan kejujuran Hairul dalam memulangkan wang dan menjaga nama baik jabatan ini.
"Kami berharap semua anggota bomba boleh melakukan perkara yang sama," kata Khairul Azhar.
Kedai tersebut yang menjual peralatan sembahyang musnah dalam kebakaran.
Anggota bomba mengambil masa selama 20 minit untuk memadamkan kebakaran itu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan