Khamis, 7 Julai 2016

6 ditahan dalam kes 2 mati ditetak parang di Publika

 
Siasatan awal mendapati kejadian itu bermotifkan dendam dan dipercayai ada kaitan dengan sambutan hari jadi yang diadakan di pub itu tidak lama dahulu.


Destiny_polis_600


KUALA LUMPUR: Enam suspek ditahan bagi membantu siasatan kes tiga mangsa diserang dengan parang di luar Pub Destiny di pusat beli-belah Publika, Solaris Dutamas semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy yang dipetik Oriental Daily sebagai berkata, tiga jam selepas kejadian itu, enam lelaki berusia 21 hingga 29 tahun itu ditahan di sekitar Sentul dan mereka akan direman seminggu untuk membantu siasatan.

Jelasnya, polis menerima panggilan kira-kira jam 11 malam Rabu daripada orang awam memaklumkan ternampak seorang lelaki ditetak seorang penyerang berparang.

“Setiba di tempat kejadian, polis menemui dua lelaki dan seorang wanita cedera ditetak dengan tangan kanan mangsa wanita terputus,” katanya.

Munusamy yang dipetik Bernama pula berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan enam lelaki bertopeng tiba dengan dua kereta dan menyerang deejay S Mogan, 21; juruwang wanita R Mythurai, 23, serta seorang lagi deejay dikenali sebagai Allen yang duduk di kaki lima pub itu.

Jelasnya, Mogan dan Mythurai yang cedera di kepala dan badan akibat ditetak, mati ketika dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Allen yang dirawat di hospital kerana kecederaan sama, dipercayai berada dalam keadaan kritikal.

Munusamy berkata, seorang daripada lelaki itu mula menyerang Mogan yang duduk di kaki lima pub dengan menetaknya berkali-kali sementara rakan sejenayahnya menyerang Mythurai dan Allen.

Bagaimanapun, tiada CCTV dipasang dalam pub dan setakat ini tiada saksi tampil untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu bermotifkan dendam dan dipercayai ada kaitan dengan sambutan hari jadi yang diadakan di pub itu tidak lama dahulu.

Dalam majlis itu, tiga daripada suspek dikatakan bertengkar dengan beberapa jemputan sebelum pergaduhan tercetus.

Pihak pengurusan pub membuat laporan polis susulan kejadian itu dan seorang daripada suspek terbabit didakwa sementara dua lagi dibebaskan selepas disoal siasat.

Malam tadi, ketiga-tiga mereka adalah antara enam penyerang yang kembali ke pub tersebut kerana dipercayai untuk membalas dendam.

Tiada ulasan: