PETALING JAYA: Rayani Air
menarik balik keputusan untuk mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan,
sebaliknya akan memberikan surat pemberhentian kerja kepada 415
kakitangannya.
Ia dibuat kerana menganggap penamatan perkhidmatan itu lebih merujuk
kepada pemecatan yang tidak akan memberi manfaat kepada pekerja syarikat
penerbangan patuh syariah pertama negara itu.
Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Rayani Air, Datuk Karthiyani Govindan memberitahu
mStar Online bahawa surat baharu iaitu pemberhentian kerja memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak terutama pekerja.
Katanya, keputusan baharu itu juga dibuat selepas mendapat nasihat Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
"Syarikat merasakan surat penamatan khidmat itu tidak sesuai untuk
pekerja kerana ia hanya memberi gambaran buruk kepada mereka. Syarikat
hanya akan mengeluarkan surat seperti itu sekiranya ia melibatkan
masalah disiplin atau salah laku.
"Oleh itu, syarikat memutuskan untuk mengeluarkan surat pemberhentian kerja berikutan syarikat tidak lagi beroperasi ketika ini.
"Surat itu akan memudahkan pekerja untuk memohon kerja di syarikat lain
atau memohon bekerja semula dengan Rayani Air sekiranya syarikat kembali
beroperasi pada masa akan datang," katanya.
Surat penamatan perkhidmatan yang tersebar pada Rabu.
Pada Rabu,
mStar Online melaporkan salinan surat penamatan
perkhidmatan tersebar di kalangan pekerja Rayani Air walaupun dokumen
itu belum diserahkan secara rasmi kepada setiap kakitangan.
Difahamkan, salinan surat itu 'terbocor' selepas ia terlepas tangan
kepada salah seorang bekas kakitangan, yang bertindak menyebarkan
dokumen itu kepada pekerja lain.
Menurut surat bertarikh 28 Jun 2016 (Selasa), keputusan untuk menamatkan
khidmat kakitangan syarikat itu dibuat selepas syarikat penerbangan
patuh syariah pertama negara itu mengalami masalah kewangan sejak
operasi dihentikan pada 8 April lalu.
Dokumen yang ditandatangani Karthiyani menyebut, masalah kewangan telah
membawa kepada pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil
Pengendali Udara (AOC) milik syarikat, mengakibatkan syarikat tidak lagi
dibenarkan beroperasi berkuat kuasa 13 Jun lalu.
Surat tersebut menyebut: “Syarikat dengan dukatcita ingin memaklumkan
mengenai perkhidmatan anda ditamatkan berkuat kuasa pada 10 April 2016.
Gaji anda pada Mac 2016 dan April 2016 (pro-rata sehingga 10 April 2016)
akan dibayar secepat mungkin.”
Menurut Karthiyani, selain memanfaatkan pekerjanya, surat 'versi baharu'
itu juga akan memudahkan urusan pengambilan semula pekerja oleh pelabur
yang akan mengambil alih syarikat itu, sekiranya ia dibenarkan untuk
beroperasi semula.
Ditanya bilakah surat pemberhentian kerja akan diberikan kepada pekerja,
Karthiyani menjangkakan ia dapat dibuat pada hari ini (Khamis).
"Saya telah menyiapkan surat untuk kira-kira 200 pekerja hari ini
(Rabu), saya jangka dapat menghabiskan 215 lagi esok, sebelum ia
diberikan kepada mereka," katanya.
Pada Selasa, Pengarah JTK Selangor, Mohd Asri Abd Wahab memberitahu
portal berita ini, pihaknya akan menasihatkan pemilik Rayani Air untuk
mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan bagi memudahkan pekerja
syarikat penerbangan itu memohon kerja di syarikat lain.
Rayani Air ketika ini berdepan dengan masalah tunggakan gaji pekerjanya yang dijanjikan diselesaikan sebelum Aidilfitri.
Walaupun pekerja menuntut tunggakan gaji selama tiga bulan iaitu Mac
sehingga Mei tetapi menurut Mohd Asri, majikan Rayani Air hanya perlu
melunaskan tunggakan bagi gaji Mac dan 10 hari pertama pada April.
Ia berikutan penggantungan operasi sementara Rayani Air oleh Jabatan
Penerbangan Awam (DCA) pada 11 April lalu dan kemudiannya memutuskan
syarikat penerbangan itu tidak lagi boleh beroperasi.
Pada 13 Jun lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membatalkan
ASL bagi Rayani Air disebabkan oleh ia melanggar syarat lesen berkenaan,
selain tidak mempunyai keupayaan kewangan dan pengurusan untuk terus
beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.
Ia diikuti pembatalan AOC oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selepas
melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan
operasi syarikat itu.