Khamis, 30 Jun 2016

Muhyiddin, Husni sehaluan?

Muhyiddin, Husni sehaluan?
 

TATKALA isu pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih panas menggelegak, arena politik tanah air dikejutkan pula dengan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai anggota Kabinet.

Berikutan itu, selepas tarawih, di serata kedai kopi di seluruh negara, orang tertanya-tanya, apa puncanya?
Apakah asbab yang mendorong Husni tiba-tiba membuat keputusan begitu drastik, meninggalkan jawatan menteri yang jadi igauan setiap ahli politik?

Lebih mengejutkan, beliau bukan setakat melepaskan jawatan menteri malah kesemua jawatan dalam parti, dari peringkat nasional, negeri hingga bahagian. Bagi orang politik bertaraf elit, apa yang tinggal padanya kini seumpama sehelai sepinggang.

Tidak dapat tidak, kedudukannya sebelum ini sebagai Menteri Kewangan II, yang boleh dikira sebagai orang paling tahu hal ehwal perjalanan 1MDB, terus ditelan sebagai halwa cerita yang paling enak.  
 
 Ini ditambah pula dengan apa yang didakwa sebagai mesej Whatsapp antara Husni dengan seorang rakannya yang bertebaran di media sosial,  konon itu adalah daripada Husni sendiri menyatakan sebab-sebab beliau melepaskan jawatan.

Sama ada benar ataupun tidak dakwaan itu, tiada siapa boleh mempastikan melainkan yang empunya diri. Ironinya, Husni sendiri setakat ini masih berdiam diri!

Apa yang pasti, situasi inilah yang paling tidak disukai oleh PMO. Membiarkan dakwaan seumpama itu terus berlegar hanya akan memburukkan lagi persepsi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apabila Tan Sri Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan enggan menyambung penggal khidmat sebagai senator untuk membolehkan beliau terus berada dalam Kabinet, pun ada cakap-cakap konon penolakannya itu ada hubung kait dengan isu prinsip dan integriti.

Seperti sinetron yang mana tarikannya adalah bergantung pada bagaimana plot cerita-ceritanya dijalinkan, begitulah juga apa yang berlaku dalam politik tanah air kita.

 Setelah Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno, manakala Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung keahliannya, kemunculan isu mengenai Husni menjadi bertambah menarik apabila kesemua plot cerita itu dijalin oleh tukang gosip dan para spekulator kedai kopi.

Kononnya ada usaha sedang dibuat untuk menarik Husni menyertai kumpulan Muhyiddin- Mukhriz.

Jika ini benar-benar berlaku, ia sudah tentu apa yang paling tidak dimahukan oleh rejim Najib.

Apa pun, cerita itu setakat ini masih kekal sebagai gosip kedai kopi!

Muhyiddin sendiri setakat ini belum dapat dipastikan arah tuju masa hadapannya dalam politik.

Namun kenyataannya selepas disingkirkan bahawa beliau, juga Mukhriz akan terus berjuang, membawa gambaran bahawa drama politik tanah air akan jadi lebih mendebarkan. Teka-teki terus berlegar sama ada Muhyiddin - Mukhriz akan berpencak menentang Najib dari sudut gelanggang parti pembangkang sedia ada, ataupun menubuhkan parti baharu.

Muhyiddin sebelum ini menyatakan bahawa beliau ada terima tawaran daripada pakatan pembangkang namun masih belum memberikan jawapan.

Dalam kenyataannya, Muhyiddin turut menyentuh mengenai keperluan mewujudkan platform politik baharu yang diandaikan oleh sesetengah pemerhati, seolah-olah hint mengenai rancangannya sendiri mahu menubuhkan parti politik baharu.

Bagaimanapun dalam reaksi selepas itu, sebilangan penganalisis menyatakan cadangan untuk menubuhkan parti politik baharu dalam keadaan sekarang – jika itu yang mahu dilakukan oleh Muhyiddin -  Mukhriz –  bukan langkah yang sesuai kerana ia hanya akan memecahbelahkan lagi orang Melayu.

Tambahan pula dalam tempoh yang hanya berbaki sekitar dua tahun menjelang pilihan raya, itu sudah tentu bukan jangka masa yang mencukupi bagi sesebuah parti politik mencapai tahap matang dan cukup persediaan untuk menghadapi pertempuran pilihan raya.

Itu belum lagi dikira soal kelulusan ROS. Takkan begitu mudah untuk sesebuah parti politik yang ditaja oleh Muhyiddin diluluskan dalam keadaan sekarang!

Melainkan jika benarlah Muhyiddin mahu berjuang atas platform baharu sebagaimana yang dikatakannya, beliau mungkin boleh mengambil alih mana-mana parti yang tidak aktif untuk diterajuinya sendiri.

Bagaimanapun, ini tidaklah lebih mudah berbanding beliau memilih mana-mana parti sedia ada, dan yang masih aktif untuk dijadikan platform baharu kerana mereka sudah mempunyai ‘crowd’ yang diperlukan untuk menyokong perjuangannya.

Sungguhpun demikian, yang tetap jadi persoalan ialah bagaimana beliau mahu menyesuaikan diri dengan parti politik yang ada dalam carta hari ini dari segi prinsip dan agenda perjuangan?

Adakah Muhyiddin, juga Mukhriz sedia untuk ‘telan’ segala ketidaksesuaian seandainya mereka memilih untuk bersama Amanah, yang terang-terangan telah menjadi proksi DAP dalam pasaran politik orang Melayu?

Dan jika mereka memilih PKR pula, meskipun Muhyiddin pernah berada dalam Team Wawasan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim – bersama Najib, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik – ketika menentang kem Tun Ghafar Baba pada pemilihan Umno 1993, terlalu banyak rekod hitam yang perlu dipadam jika mereka membuat keputusan untuk bergabung.

Soalnya, bagaimana pula dengan Mukhriz?

Anwar sampai sekarang masih tidak dapat menerima kehadiran Tun Dr. Mahathir memperjuangkan Deklarasi Rakyat bersama pakatan pembangkang, dan sudah tentu sukar juga baginya untuk menerima Mukhriz jika bekas Menteri Besar Kedah itu mahu memilih platform PKR.

Benarlah apa yang disebut Muhyiddin pada sidang media 26 Jun lalu bahawa keputusan yang harus dibuatnya sekarang adalah “keputusan besar dan tidak pernah termimpi oleh kami”.

Mereka boleh juga memilih untuk kekal sebagai wakil rakyat Bebas dan bertanding pada PRU14 atas tiket Bebas namun itu bukanlah platform yang kuat bagi mereka untuk memperjuangkan agenda yang begitu besar. Ada juga pilihan bagi mereka untuk meneruskan perjuangan menerusi NGO, namun itu juga bukanlah tapak yang kukuh.

Mahu tidak mahu, Muhyiddin sebagai satu nama besar dalam politik negara, harus membuat langkahan yang tepat, dan kemudian memijak pada tapak yang tepat juga untuk terus mengekalkan namanya dalam politik. Beliau sama sekali tidak boleh tersilap!

Muhyiddin juga tidak boleh terlalu lambat untuk mengumumkan langkah besar yang mahu dilakukannya.

Jangan menunggu sehingga klimaks cerita yang sedang hangat ini menurun. Malah beliau sebaiknya jangan bercuti raya pun. Biarlah pada musim perayaan ini, orang menjamah kuih raya sambil berkongsi cerita mengenai agenda besar Muhyiddin - Mukhriz dengan platform baharu politik mereka.

Justeru, langkah pertama yang harus dilakukannya ialah mencari tempat 'persembunyian' Husni, mengajaknya berjumpa dan berbincang. Mana tahu kalau-kalau cerita mereka sama, cuma plotnya sahaja yang berbeza!


Tiada ulasan: