Selasa, 28 Jun 2016

Ada syarat jika Amanah mahu terima Dr M



Mahathir Mohammad
Mahathir Mohammad



SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan kesediaannya membuka pintu untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipecat dari Umno Jumaat lalu demi menyelamatkan negara.

Namun Naib Presidennya, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kesediaan pihaknya itu bersyarat .

"‎Amanah bukan hanya sekadar boleh terima dan pertimbangkan permohonan keahlian daripada Tan Sri Muhyiddin, Datuk Mukhriz, malah Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Mahfuz Omar sendiri ke dalam Amanah dengan syarat mereka memahami falsafah perjuangan parti kita.

‎“Kami nak bina negara yang dirahmati dan memberi kesejahteraan kepada semua, bina suasana kasih sayang sesama rakyat Malaysia, membina kehidupan yang murni serta mengelakkan rakyat hidup berpura-pura dan curiga-mencurigai dari segi perkauman.

‎“Kita juga nak membanteras bagaimana negara diurus dalam keadaan pecah amanah, rasuah ketirisan, pembaziran, pembohongan dan menyusahkan rakyat. Kalau mereka memahami falsafah yang ada dalam Amanah ini, bila-bila sahaja kami bersedia untuk memproses keahlian mereka,” katanya kepada Sinar Online.

‎Semalam, penganalisis politik berpendapat pilihan yang terbaik untuk Muhyiddin dan Mukhriz ialah menyertai Amanah dan parti tersebut perlu melakukan penstrukturan semula untuk menerima sebilangan besar ahli-ahli Umno yang menyokong Tun Mahathir serta dua pemimpin tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sertai Amanah pilihan terbaik Muhyiddin, Mukhriz]

‎Menurut Hasanuddin lagi, sekiranya mereka masih belum bersedia bersama Amanah, sekurang-kurangnya pemimpin-pemimpin itu bersedia bekerjasama dengan Amanah dalam Pakatan Harapan untuk menyelamatkan negara.

‎“Memahami di mana mereka ini lebih menekuni isu dalam negara sebab mereka pernah berada dalam saf kepimpinan negara. Mereka tahu apa yang berlaku dan mereka sendiri bercita-cita untuk selamatkan dan membaiki negara. Jadi, tidak ada sebab untuk parti amanah tidak bersama dengan mereka.

“Apa yang penting, kami dapat memanfaatkan mana-mana rakyat Malaysia bukan empat orang ini sahaja. Malah teman-teman daripada ahli Umno, Pas, MCA, MIC, PBB di Sabah Sarawak dan sebagainya.

‎“Sekiranya mereka merasa parti mereka sudah tidak jelas lagi, keliru dengan hala tuju parti mereka, mereka boleh beramai-ramai bersama dengan kami,” katanya.

Menyentuh soal tanggapan orang ramai di mana keempat-empat pemimpin itu pasti diberi kedudukan dalam parti sebaik penyertaan mereka, Hasanuddin menegaskan jawatan bukan isunya.

‎“Yang penting di sini bukan jawatan dalam parti tapi kita akan bukakan gelanggang seluas-luasnya untuk sesiapa sahaja untuk selamatkan negara.

‎“Sudah pasti kami akan aturkan peranan Tun Mahathir yang telah berusia tapi masih sanggup berjuang...sudah tentu kita akan sediakan ‘tempat’ yang sesuai untuk dia. Tak mungkin kita nak lantik jawatan-jawatan yang tidak sesuai dengannya,” katanya.


Tiada ulasan: