Selasa, 28 Jun 2016

Letupan pusat hiburan: Polis sahkan bom tangan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bahan letupan yang dibaling di sebuah pusat hiburan hingga mencederakan lapan orang di Puchong, awal pagi tadi adalah bom tangan. 
 
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata siasatan menyeluruh sedang dilakukan pihaknya termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis terbabit bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian. 
 
"Setakat ini, kita belum tahu apa motif bom itu dibaling. Mungkin kerana persaingan perniagaan, balas dendam... kita akan siasat dari semua sudut.
 
"Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
 
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi meminta orang ramai supaya tidak membuat andaian berhubung kejadian yang mengaitkannya dengan perbuatan pengganas.
 
"Siasatan kita menjurus kepada semua kemungkinan...kaitan dengan kumpulan gangster, persaingan perniagaan, pengganas.
 
"Buat masa ini, siasatan masih dijalankan," katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, lapan pengunjung pusat hiburan berkenaan cedera termasuk seorang daripadanya parah selepas premis itu dibaling bom tangan ketika semua mereka sedang menonton perlawanan pusingan kalah mati 16 pasukan Euro 2016.
 
Mereka yang cedera terdiri empat lelaki dan empat wanita yang kini dirawat di Hospital Serdang dan pusat perubatan swasta.
 
 

Tiada ulasan: