Khamis, 30 Jun 2016

DAP Pulau Pinang akan adakan mesyuarat tergempar esok

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGTOWN: Susulan penahanan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, kepimpinan DAP negeri itu akan mengadakan satu mesyuarat tergempar esok. 
 
Mesyuarat berkenaan akan diadakan sejurus selepas Guan Eng dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah, demikian menurut Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow. 
 
"DAP akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa negeri tergempar esok untuk membuat keputusan bagi menangani krisis politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, sambil menegaskan mesyuarat itu hanya akan diadakan dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
 
Ujarnya, DAP menganggap tuduhan ke atas Guan Eng berunsurkan politik yang bertujuan mematikan kariernya.
 
Sementara itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dalam satu kenyataan berkata parti itu akan sentiasa menyokong dan berdiri teguh di belakang Guan Eng.
 
Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok atas dua tuduhan rasuah termasuk pembelian sebuh banglo di bawah harga pasaran.
 
Beliau terdahulu ditahan SPRM petang tadi dan dibawa ke ibu pejabat SPRM Pulau Pinang.
 
Pertuduhan pertama adalah berkaitan dengan dakwaan beliau menyeleweng kuasa bersabit permohonan menukar status sebidang tanah daripada pertanian kepada komersial.
 
Satu lagi tuduhan terhadap Guan Eng adalah  berhubung tindakannya  membeli sebuah banglo daripada seorang ahli perniagaan wanita di bawah harga pasaran.
 
Pemimpin DAP itu akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah dan dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara jika disabit kesalahan. 


Tiada ulasan: