Selasa, 28 Jun 2016

Kontraktor KPM ‘hilang’ bersama gaji 24 pekerja am sekolah

 
Pekerja pencuci di tiga buah sekolah mengadu majikannya tidak membayar gaji selama dua bulan iaitu pada Januari dan Februari tahun ini. 


Kontraktor KPM


PUTRAJAYA: Seramai 24 pekerja am di tiga buah sekolah mengadu majikan mereka tidak membayar gaji selama dua bulan iaitu pada Januari dan Februari tahun ini.

Malah, mereka mendakwa kontraktor dilantik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu juga menipu wang milik mereka dengan membawa lari sebanyak RM43,800.

Valli Maniam, 40 yang sudah bekerja sejak empat tahun lalu, menyatakan tindakan majikannya menyebabkan beliau terpaksa berhutang.

“Saya minta gaji dua bulan belum dapat. Pada saat akhir, majikan saya melarikan diri. Saya terpaksa berhutang dengan kawan-kawan untuk membeli ubat-ubatan.

“Gaji saya tidak besar, RM900 sahaja, tetapi jika dua bulan tidak bayar, susahlah saya,” katanya sewaktu ditemui di Bangunan KPM, hari ini.

Manakala, Kinah Md Said, 64 terpaksa mencari jalan meneruskan kehidupan.

“Jenuh juga nak cari ikhtiar. Tetapi saya nasib baik ada suami. Dia mendapat pencen,” ujarnya.

Beliau berharap KPM membantu menjelaskan bayaran gaji dua bulan yang tertunggak memandangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang.

Sementara itu, AJK Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bahagian Biro Pekerja, Sivaranjani Manikam berkata, tiga sekolah terlibat itu adalah dari SMK Lelaki Methodist, SMK Jalan Davidson dan SRK Jalan Davidson.

“Kontraktor yang terlibat menghilangkan diri, mereka yang menjadi mangsa bukannya bergaji besar.
“Pekerja juga membuat tuntutan sebanyak dua kali di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) tetapi tiada sebarang perubahan berlaku,” katanya.

Malah, selepas pertemuannya dengan wakil KPM, beliau memberitahu syarikat kontraktor berkenaan sudah disenarai hitamkan.

“KPM juga berjanji gaji pekerja berkenaan akan dibayar dalam masa terdekat,” katanya.

Tiada ulasan: