Khamis, 30 Jun 2016

Zaid: Bos sedang perhati, kes Lim boleh lonjakkan AG

Kes mahkamah yang membabit Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempunyai potensi untuk melonjakkan Peguam Negara Mohamad Tan Sri Apandi Ali ke tahap lebih tinggi, menurut Datuk Zaid Ibrahim.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu mengulas tindakan Apandi yang mengetuai enam timbalan pendakwaraya hari ini.

Zaid, yang hadir di mahkamah sesyen di Georgetown ketika Lim didakwa dengan dua pertuduhan rasuah pagi ini, mendakwa Apandi muncul ceria dengan senyuman sinis.


"Sudah tentu beliau yakin. Tiada AG akan kendalikan kes seperti ini, yang sedang diperhatikan oleh orang ramai, kecuali beliau yakin boleh mendapatkan keputusan bersalah.

"Bukan hanya orang ramai, tetapi bosnya (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) juga sedang merhatikan.

“Lagipun ini kes penting yang jika berjaya boleh melonjakkan kejayaan AG ke peringkat cemerlang," katanya menerusi Tweeter.

Bagaimanapun, Zaid berkata bahawa kes itu tidak sebegitu mudah seperti yang dijangkakan oleh AG.
Apandi dilantik tahun lalu selepas peguam negara terdahulu Tan Sri Abdul Gani Patail dilucutkan atas alasan kesihatan.

Walau bagaimanapun, para pengkritik mendakwa penyingkiran Abdul Gani dikaitkan dengan pasukan petugas khas yang menyiasat isu berkaitan Najib dan skandal 1MDB.

Kerajaan menafikan perkara tersebut.

Sementara itu, Zaid juga berhujah bahawa tidak ada sebab untuk Lim melepaskan jawatan ketua menteri.
Beliau berkata ini adalah kerana setiausaha agung DAP tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kes berkenaan.

"Beliau tidak mempunyai kuasa untuk memecat peguam negara, mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup fail atau menukar hakim (perbicaraan) ke Gua Musang," katanya.

Lim didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial.



Beliau juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, ahli perniagaan wanita Phang Li Khoon, yang menjual banglo tersebut kepada Lim, pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng.

Berikutan itu, terdapat desakan dari pihak tertentu, khususnya parti komponen BN supaya Lim meletakkan jawatan sebagai ketua menteri.


Tiada ulasan: