Rabu, 29 Jun 2016

PAN Nafi Akan Serah jawatan Presiden Kepada Muhyiddin – Suhaizan Kayat







Parti Amanah Negara (PAN) menafikan akan menyerah jawatan Presiden parti itu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbal balas bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyertai parti, tegas pengarah Organisasi PAN, Suhaizan Kayat.

Sebaliknya, kata Suhaizan hireaki kepimpinan PAN kekal seperti sedia kala dan jika Muhyiddin menyertai parti itu, beliau akan diberi jawatan yang sesuai kepada beliau.


“Ada yang menulis kononnya jika Tan Sri Muhyiddin masuk AMANAH maka jawatan Presiden akan diserahkan pada Tan Sri Muhyiddin.

“AMANAH adalah parti progresif. Ia memiliki keadah meletakkan kedudukan seseorang di tempat yang sesuai dengan tidak menjejaskan organisasi asal,”katanya dalam Facebook hari ini.

Walaupun Muhyiddin adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, namun Suhaizan berkata PAN tidak pernah membeza-bezakan asal usul seseorang itu.

“AMANAH tidak membeza-bezakan dari mana mereka berasal. Halatujunya jelas untuk menumbangkan BN secara demokrasi bagi mendapat redha Allah.

“Berilah masa Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakanya membuat kajian. Wadah mana yang sesuai dengan mereka,”katanya lagi.



Sementara itu, Presiden PAN, Mohamad Sabu menafikan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah menyertai partinya seperti yang sedang tersebar di media sosial.

Dalam satu kenyataan ringkas, setiausaha politik beliau, Mohd Azhar Mat Dali berkata Mohamad tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung hala tuju politik kedua-dua pemimpin UMNO yang baru dipecat itu.

“Presiden Amanah, Tuan Haji Mohamad Sabu tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung hala tuju politik Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Sehubungan itu, kenyataan yang tersebar kononnya Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Sri Mukhriz telah menyertai Amanah adalah bukan daripada Presiden Amanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pagi ini tersebar satu kenyataan media bertajuk “Muhyiddin dan Mukhriz sertai Amanah” kononnya dibuat oleh Mohamad.

Kenyataan itu antara lain memetik Mohamad kononnya mengucapkan terima kasih di atas penyertaan kedua-dua bekas pemimpin UMNO itu ke dalam PAN.

LIHAT VIDEO DI SINI




Tiada ulasan: