Rabu, 29 Jun 2016

Remaja potong kaki Mek Som dipenjara 11 tahun

Remaja potong kaki Mek Som dipenjara 11 tahun
Mohd Fikri Noor Rosland, 19, dipenjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh dengan cara memotong kaki kiri seorang warga emas Mek Som Mat Diah, 89, pada 19 Jun lepas.
 
 
PASIR MAS - Seorang remaja lelaki dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas kesalahan cubaan membunuh dengan cara memotong kaki kiri seorang warga emas wanita pada 19 Jun lalu.

Hakim, Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh Mohd Fikri Noor Rosland, 19, dari Kampung Tanjung Rendang, Lemal di sini yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.  

Tertuduh yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu diarah menjalani hukuman penjara tersebut dari tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya,Haslida Isamail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian 19 Jun lalu, seorang warga emas, Mek Som Mat Diah, 89, putus pergelangan kaki kiri selepas ditetak tertuduh yang dipercayai dalam pengaruh dadah di rumahnya di Kampung Tanjong Rendang, Lemal.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tetak kaki nenek tua sebab tak dapat duit]

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Mek Som turut cedera di bahagian muka akibat ditumbuk suspek yang dikatakan berang kerana mangsa enggan memberikan wang kepadanya.

Mek Som kini kehilangan kaki kirinya yang terpaksa dipotong sehingga paras lutut sedang mendapat rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Rasa pelik tak dok kaki']

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haslida Isamail memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.  

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara terhadapnya.


Tiada ulasan: