Khamis, 30 Jun 2016

Kenapa Ahmad Husni letak jawatan?

Cina Sarawak, Cina Semenanjung 'berperang'
 

TIDAK banyak perubahan besar dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Namun apa yang menjadi tumpuan dan paling mengejutkan ialah peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah sebagai Timbalan Menteri Kewangan kedua.

Ketika ramai pemimpin bercita-cita mahu untuk menjadi menteri, Ahmad Husni pula memilih keputusan untuk meninggalkan barisan jemaah menteri. Beliau pergi secara senyap-senyap dan tidak memberikan sebarang kenyataan secara terbuka kepada umum.

Ahmad Husni bukan sahaja melepaskan jawatan Timbalan Menteri Kewangan Kedua, malahan turut meletakkan jawatan sebagai Bendahari Umno Malaysia, Bendahari Agung BN, Timbalan Pengerusi Umno Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua Umno Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Tambun. Beliau hanya mengekalkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Tambun.

Dalam analisis Sin Chew Jit Poh semalam menulis, sebelum pengumuman Najib, tidak ada sebarang tanda-tanda awal yang menunjukkan Ahmad Husni akan melepaskan semua jawatan yang disandangnya kecuali Ahli Parlimen. Umno Perak juga dikatakan tidak tahu menahu mengenai tindakan beliau yang mengejutkan itu.

Ahmad Husni difahamkan sudah bersedia untuk bersara dan enggan bertanding dalam PRU akan datang.
 Dalam rombakan Kabinet baru-baru ini, atas permintaan Perdana Menteri, beliau dikatakan dilantik jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab ke atas Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Bagaimana pun, Ahmad Husni tidak setuju pelawaan Perdana Menteri itu sebaliknya memilih untuk mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan Kedua.

Malangnya, permintaan beliau itu dikhabarkan tidak direstui oleh Perdana Menteri dan menyebabkan beliau melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti.

Ketika mengumumkan kedudukan Ahmad Husni, Perdana Menteri berkata: “Husni telah memaklumkan kepada saya dia mahu bersara, jadi saya hormati keputusan itu. Dia sekarang sedia untuk bersara."

Kuasa melantik menteri dan timbalan menteri adalah terletak pada tangan Perdana Menteri. Oleh itu, penjelasan Perdana Menteri itu perlu diterima semua pihak kerana beliau tidak perlu memberikan penjelasan lanjut lagi mengenai peletakan jawatan seseorang menteri.

Akhbar ini menulis, biarpun tindakan yang dibuat Ahmad Husni ini agak terburu-buru namun punca sebenar peletakan jawatannya hanya beliau sendiri yang mampu menjelaskannya.
Menurut analisis itu lagi, Ahmad Husni adalah seorang pemimpin yang bersih dan tidak pernah terlibat dalam sebarang pertelingkahan peribadi dalam parti. Kebanyakan berita beliau dalam laporan akhbar adalah berkaitan dengan aktiviti kementerian dan tugasan rasmi.

Beliau juga amat disenangi oleh semua pengundi dalam kawasan Parlimen Tambun.

"Peletakan jawatan Ahmad Husni amat dirasai bukan saja kepada seluruh jemaah Kabinet malahan kepada politik negara. Tidak kira apa jua punca sebenar beliau letak jawatan, yang pasti beliau tidak terima tekanan daripada mana-mana pihak dan kedua, peletakan jawatannya tidak ada kena mengena dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir," kata sumber itu.

Sementara itu, dalam akhbar yang sama, sumber yang boleh dipercayai menyatakan Ahmad Husni tidak berhasrat menyertai mana-mana parti pembangkang selepas melepaskan jawatan.

Di samping itu, kata sumber itu, secara tradisinya, Bendahari Agung Umno adalah Bendahari BN. Oleh itu Ahmad Husni secara sendirinya melepaskan kedua-dua jawatan tersebut dianggap tindakan bijak demi kebaikan Umno dan BN.

"Sebelum rombakan Kabinet tahun lalu, Umno telah mengalami krisis dalaman akibat isu 1MDB. Ketika itu, Ahmad Husni telah menyatakan hasratnya kepada Najib untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan Kedua.

"Bagaimanapun, jawatan Ahmad Husni tetap dikekalkan oleh Perdana Menteri. Beliau kemudian meneruskan amanah itu dengan berusaha menyelesaikan isu 1MDB yang membelenggu pucuk pimpinan kerajaan. Beliau sentiasa memberikan penjelasan kepada pihak-pihak tertentu bagi memastikan kedudukan ekonomi negara tidak terjejas akibat isu 1MDB," kata sumber itu.


Tiada ulasan: