Selasa, 28 Jun 2016

Kes bunuh Kevin Morais: fokus imej enam lelaki berdasarkan ciri tertentu - Saksi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin bahawa beliau tidak pernah melihat enam lelaki yang imej mereka dirakamkan di dua buah hotel, dua hari sebelum Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais ditemukan mati pada 16 September lalu.
 
Juruanalisis Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia Insp Mior Samsul Abdul Rahman berkata beliau hanya melihat kesemua lelaki tersebut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Hotel New Town dan Hotel Go di Petaling Jaya.
 
Ketika pemeriksaan balas peguam V. Rajehgopal, Mior Samsul memberitahu kesemua imej lelaki yang difokuskan itu diambil atas arahan Pegawai Penyiasat ASP Wan Abdullah Wan Said.
 
Ketika ditanya Rajehgopal bagaimana beliau boleh mengenali dan memfokuskan individu yang dikehendaki ASP Wan Abdullah, saksi ke-26 itu berkata melalui ciri-ciri fizikal termasuk rambut, bentuk badan dan warna kulit yang diberitahu pegawai penyiasat itu.
 
Mior Samsul bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa beliau merakamkan imej kesemua lelaki itu secara rawak berdasarkan arahan dan petunjuk daripada ASP Wan Abdullah.
 
Rajehgopal: Ini bermaksud sebelum 20 September, sebelum kamu ambil rakaman, kamu pergi jumpa individu yang kamu nak fokuskan? Anda pernah lihat mereka sebelum ini?
 
Mior Samsul: Tidak. Sebelum itu saya tak pernah lihat mereka.
 
Rajejgopal: Siapa yang suruh kamu fokuskan individu-individu ini?
 
Mior Samsul: ASP Wan Abdullah
 
Enam lelaki - G.Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 23, M.Vishwanath, 26, S.Nimalan, 23, dan S.Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.
 
Kol Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.
 
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung.
 
 

Tiada ulasan: