SHAH ALAM: PAS akan menyerahkan laporan 'post mortem' mengenai
kekalahan parti itu dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala
Kangsar akan diserahkan kepada kepimpinan Pusat selewat-lewatnya akhir
Ogos depan.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata laporan berkenaan
akan diserahkan pengerusinya Datuk Mohd Amar Abdullah yang juga Naib
Presiden PAS kepada peringkat pusat.
Jelasnya, Mohd Amar diberikan tanggungjawab memimpin Jawatankuasa 'post
mortem' PAS bagi mengenal pasti punca-punca kekalahan PAS di kedua-dua
kawasan PRK terbabit.
"Berdasar kepada pemerhatian awal PAS tidak kurang sokongan walaupun gagal memenangi PRK berkenaan.
"Ini kerana undi teras PAS masih kekal. Sebaliknya penyokong PKR dan
DAP berpaling arah di mana ada yang menyokong calon BN atau PAN," jelas
Takiyuddin memetik laporan HarakahDaily hari ini.
Jawatankuasa berkenaan juga akan turut menilai pengendalian perjalanan pilihan raya dan jentera parti itu secara terperinci.
Pada PRK yang diadakan pada 18 Jun lalu, PAS gagal mencabar kekuatan
Umno-Barisan Nasional (BN) yang berjaya mempertahankan kubu kuat mereka.
Di Kuala Kangsar BN menerusi Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh
majoriti 6,969 undi mengatasi calon PAS Dr. Najihatussalehah Ahmad dan
Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Ahmad Tarmizi Ramli.
Situasi sama di Sungai Besar apabila Budiman Mohd Zohdi yang mewakili
BN mendapat majoriti 9,191 undi menewaskan calon Amanah Azhar Abdul
Shukur dan Dr Rani Osman yang mewakili PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan