Jumaat, 25 September 2015

Tiada jemaah Malaysia terlibat insiden rempuhan


Tiada jemaah Malaysia terlibat insiden rempuhan
Insiden rempuhan berlaku di Street 223.


MINA - ‎ARAB SAUDI . [DIKEMASKINI] Sehingga kini tiada jemaah haji Malaysia yang terlibat dalam insiden rempuhan yang mengorbankan lebih 300 orang, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, jumlah terkini kematian dalam insiden tersebut adalah 310 orang dan 450 orang cedera.

"Kejadian ini berlaku pada 11.30pagi di persimpangan jalan 204-223 dan bukan di kompleks jamrah untuk melontar.

"Insiden ini berlaku di kawasan perkhemahan negara Arab yang terletak jauh dari khemah Malaysia," katanya dalam satu sidang media khas, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang membuat kiraan jemaah haji yang berada di tanah suci.

"Jemaah haji Malaysia ditetapkan melontar pada 5.30pm dan 8.00pm secara berperingkat. Waktu puncak adalah ketika dhuha dan kejadian berlaku pada masa itu. Kita sudah nasihat jemaah untuk tidak lontar luar jadual," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kematian meningkat rempuhan manusia di Mina]

Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak mempercayai laporan di media sosial kerana terdapat maklumat yang tidak sahih.

Katanya, maklumat dari masa ke semasa akan diberitahu kepada media tempatan termasuk pemberitahuan terbaharu jika ada jemaah Malaysia yang terlibat‎.

"Ramai yang risau keadaan jemaah. Jangan risau, teruskan berdoa. Sebarang maklumat boleh hubungi petugas Tabung Haji. Jangan percaya khabar angin," katanya.


Tiada ulasan: