Sabtu, 26 September 2015

Penahanan semula Khairuddin jejaskan demokrasi berparlimen

Oleh Bersih 2

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk sekeras-kerasnya penahanan semula Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan – setelah dibebaskan daripada tahanan reman – di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan melihatnya sebagai suatu tindakan berniat jahat yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Bersih 2.0 menegaskan, satu ciri paling istimewa demokrasi berparlimen ialah keanjalan dalam menukar ketua kerajaan, iaitu perdana menteri. Perdana menteri tidak mempunyai jaminan kerja dan boleh “dipecat” Parlimen pada bila-bila masa seandainya perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Kerana itu, demokrasi berparlimen hanya dapat berfungsi dengan baik apabila rakyat bebas mempersoalkan kebolehpercayaan perdana menteri, dan Parlimen pula bebas untuk menentukan sama ada kepercayaan kepada perdana menteri masih wujud atau tidak.

Sesiapa yang cuba menghalang rakyat daripada mempersoalkan kebolehpercayaan perdana menteri, dan cuba menafikan hak Parlimen untuk mempertimbangkan semula kebolehpercayaan terhadap perdana menteri sebenarnya merampas kuasa rakyat dan Parlimen dan menjejaskan demokrasi berparlimen.

Penahanan Khariuddin asalnya di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaaan [cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen] dan penahanan semula beliau di bawah Sosma (boleh sampai 29 hari) di bawah Seksyen 124K [sabotaj] and 124L [cubaan untuk melakukan sabotaj] Kanun Keseksaan adalah tindakan berniat jahat.

Bersih 2.0 menegaskan, tiada sebarang undang-undang di Malaysia yang mengharamkan rakyat Malaysia daripada memanfaatkan sistem undang-undang di mana-mana negara lain di dunia. Khairuddin tidak bersalah dan tidak melakukan sabotaj dengan mengemukakan laporan mengenai skandal 1MDB ke sistem perundangan negara lain.

Sabotaj hanya berlaku apabila rakyat seperti Khairuddin dilarang mempersoalkan kebolehpercayaan perdana menteri dan Parlimen dihalang membuat keputusan mengenainya.

Bersih 2.0 menyeru pihak berkuasa membebaskan Khairuddin tanpa syarat dan menghentikan semua tindakan yang boleh membawa sabotaj kepada demokrasi berparlimen.

Bersih 2.0 juga mengulangi cabaran yang dibuat Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah pada 19 Ogos supaya perdana menteri mengemukakan usul undi percaya di Parlimen. Sekiranya usul itu diluluskan, maka Najib akan mempunyai keabsahan untuk terus berkuasa.

Bersih 2.0 berharap Najib akan cukup berani untuk menghormati demokrasi berparlimen dan bukan menganiayai para pengkritik seperti Khairuddin.

Bersih 2.0 mengulangi iltizamnya dalam mendukung hak rakyat Malaysia untuk membantah secara aman dan rasional. –

Tiada ulasan: