Rabu, 23 September 2015

Niat sahaja cukup untuk buktikan Khalid sudah bersama PAS - Nik Zawawi

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim 'dikira' sudah menyertai PAS berasaskan minatnya terhadap perjuangan Islam parti itu, kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh. 
 
Beliau berkata bahawa Khalid sudah lama menunjukkan kecenderungan terhadap perjuangan yang dibawa PAS malahan beberapa kali menyertai program PAS di Terengganu dan Selangor.
 
"PAS terbuka (kepada) yang mana sesiapa yang mahu perjuangkan PAS. Dari hukum syaraknya tidak wajib mengisi borang kerana ia adalah hal-hal teknikal sahaja. 
 
"(Dan) Apabila seseorang itu berniat untuk berjuang dalam Islam dan bersama PAS, dia dikira sudah bersama PAS," katanya kepada Antarapos.
 
Sejak minggu lalu spekulasi penyertaan Khalid ke dalam PAS mula bertebaran, namun sehingga kini tidak ada lagi pengumuman rasmi oleh Khalid mahupun PAS mengenai status beliau menyertai parti itu.
 
ADUN Bebas Pelabuhan Klang itu mengakui menerima pelawaan untuk menyertai parti berkenaan, namun masih belum mempertimbangkannya. 
 
Menurut Khalid, ini kerana  beliau masih mempunyai beberapa urusan yang perlu diselesaikan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai pemecatannya di dalam PKR.
 
Khalid dipecat oleh PKR pada tahun lalu selepas enggan akur dengan arahan  parti untuk mengosongkan kerusi Menteri Besar Selangor.
 
Khalid mendapat sokongan PAS walaupun PKR dan DAP mahu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi menteri besar baru. Akhirnya dalam satu kompromi, ketiga-tiga parti itu bersetuju dengan keputusan Istana Selangor melantik Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sebagai pengganti Khalid. 
 
Krisis jawatan menteri besar itu menjadi pemangkin perpecahan Pakatan Rakyat, malah mencetuskan perbalahan di dalam PAS sendiri.   
 
Nik Zawawi berkata PAS 'bertuah' mempunyai sokongan seorang tokoh politik seperti Khalid yang berkeperibadian mulia dan mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang.
 
"Pada saya secara peribadi, Khalid ada kejujuran, keikhlasan dan ketelusan serta seorang individu yang ada prinsip juga bertahan dengan ujian duniawi.
 
"PAS sangat berbangga apabila Khalid sanggup berjuang bersama PAS, sebagaimana yang pernah diperkatakannya di sebuah ceramah di Dungun baru-baru ini," ujarnya lagi.
 
Kecenderungan Khalid terhadap PAS semakin jelas kelihatan apabila beliau menyatakan kesediannya untuk berbai'ah jika menyertai perjuangan  parti itu. 


Tiada ulasan: