Selasa, 8 September 2015

Kongres Rakyat: ‘Kami bukan cuba jadi Superman’

Mustafa Kamil Ayub
Mustafa


KUALA LUMPUR - "Kami bukan cuba nak jadi Superman, saya tahu apa yang bakal dibangkitkan dalam Kongres Rakyat nanti adalah isu-isu yang sensitif, tetapi rakyat perlu berani berhadapan dengan masalah-masalah yang ada dalam negara kita ini," demikian ujar Timbalan Pengerusi 1 Kongres Rakyat, Mustafa Kamil Ayub.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak yang menjadi ahli kongres perlu memainkan peranan masing-masing menerusi pembentangan idea, debat, dan hujah untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh kongres.

"Semua pihak perlu mainkan peranan untuk membetulkan keadaan. Jangan lari atau tolak masalah yang ada ke tepi.

"Kalau kita asyik tolak masalah kita ke bawah karpet, bagaimana kita nak tahu tentang langkah pendekatan atau penyelesaian terhadap masalah ini? Kita ini hanya manusia biasa, tugas kita mendengar, dan mendepani masalah yang dihadapi masyarakat, NGO, dan ahli panel nanti," katanya.

Lebih 200 NGO dijangka hadir ke Kongres Rakyat yang akan berlangsung selama satu hari di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada Sabtu nanti.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Jangan anggap Kongres Rakyat negatif ]

Menurut Mustafa lagi, walaupun kongres tersebut mungkin tidak dapat menyelesaikan semua isu berbangkit, ia berfungsi untuk sebagai satu permulaan untuk membawa isu ke peringkat yang lebih tinggi.

"Ramai yang bertanya kepada saya, bolehkah kongres menyelesaikan semua masalah yang dibawa ke dalam kongres? Mampukah kongres ini menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak 65 tahun dahulu?

"Saya kata ‘tidak boleh’. Bagaimanapun ia merupakan satu titik permulaan yang baik untuk kita menggarap cara baharu untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan tersebut dengan cara yang lebih adil dan saksama," katanya lagi.


Tiada ulasan: