PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr
Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan mengenai seorang jemaah Malaysia,
Siti Haryati Shaikh Ali, terkorban dalam insiden rempuhan di Mina pada
Khamis, yang tersebar sehingga menjadi viral di media sosial.
Beliau pada sidang media susulan mengenai perkembangan berkaitan
berkata, sebaliknya jemaah berkenaan meninggal dunia akibat sesak nafas.
"Allahyarhamah Siti Haryati Shaikh Ali, seorang pensyarah UiTM
(Universiti Teknologi Mara), Terengganu telah meninggal dunia kerana
sesak nafas, tidak ada kaitan dengan rempuhan tersebut," katanya pada
sidang media, malam Khamis.
Pada sidang media yang sama, beliau turut mengesahkan tiada jemaah
Malaysia yang terlibat dalam insiden rempuhan di Mina itu selepas
semakan dibuat oleh Tabung Haji (TH).
Asyraf berkata, setakat ini seramai 16 jemaah Malaysia yang meninggal
dunia, termasuk tujuh yang terkorban dalam insiden kren tumbang di
Masjidil Haram pada 11 September lalu.
"Yang lain meninggal dunia akibat serangan jantung dan sesak nafas.
Jadi, saya nak tutup segala cerita di media sosial yang mengaitkan
kematian Allahyarhamah Siti Haryati dengan kejadian rempuhan di Mina,
yang tidak ada kaitan dengan jemaah haji Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan