KUALA LUMPUR, Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Jalan Sentul Indah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata, mayat mangsa ditemui orang awam di bahagian belakang koridor kondominium dalam keadaan terlentang kira-kira jam 9.51 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa berusia 24 tahun bekerja sebagai ejen hartanah separuh masa dan tinggal bersama keluarganya.

“Mangsa mati akibat kecederaan parah di muka dan kaki susulan jatuh dari tempat tinggi.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan dipercayai mangsa mengalami tekanan hidup.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.