Rabu, 29 Julai 2015

Zam: Zahid cuma TPM sementara?

MALAYSIAKINI


 


Seorang bekas anggota kabinet hari ini membangkitkan sama ada pelantikan Datuk Seri Zahid Hamidi menggantikan Tan Sri Munyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri hanya bersifat sementara.

Tan Sri Zainuddin Maidin, menteri penerangan antara 2006 hingga 2008, berteori, pelantikan Zahid akan memastikan laluan mudah buat Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengambil tempat sebagai perdana menteri atau timbalan perdana menteri pada masa sesuai.

Bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu itu juga mengingatkan bahawa Hishamuddin seorang sepupu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Yang menjadi tanda tanya sekarang ialah adakah  pelantikan Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri hanya bersifat sementara bagi memberikan laluan ke puncak kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin yang juga pernah menjadi menteri dalam negeri dan banyak menyimpan rahsia-rahsia penting kementerian itu,” katanya.

Menegaskan tiada perancangan dan janji yang kekal dalam politik, Zainuddin mengingatkan bahawa kedudukan itu akan ditentukan dalam pemilihan Umno selepas pilihan raya umum akan datang.

Itu pun, sindirnya, sekiranya BN atau Umno masih berkuasa dan sekiranya Najib merasa perlu untuk berundur.

Sementara itu, Zainuddin juga mempertikaikan pengumuman tergesa-gesa kabinet baru semalam yang menurutnya mengendalakan keperluan menyediakan laporan 1MDB telah menghampakan rakyat dan hanya mengutamakan kelangsungan Najib.

“Jika Najib mengambil berat terhadap  kepenatan penantian rakyat terhadap laporan 1MDB maka tentulah beliau menangguhkan dahulu pengumuman kabinet barunya yang memerlukannya mengambil tiga orang yang sedang menjalankan menyiapkan laporan hasil siasatan  itu

“Demikianlah juga penyingkiran peguam negara (Tan Sri) Gani Patail yang terlibat dalam tugas yang sama,” kata Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam.

Zainuddin berkata orang ramai kini nampak keperluan membuat rombakan itu susulan “bahaya yang  datang dari kenyataan  Muhyiddin” yang mengenai 1MDB dalam majlis Umno Cheras baru-baru ini. 



Tiada ulasan: