BERNAMA
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata, kelulusan itu antara lain melibatkan kebenaran merancang bagi projek berkenaan.
SHAH ALAM, Kerajaan negeri Selangor menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hari ini meluluskan beberapa permohonan yang dikemukakan agensi dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan projek pembinaan Langat 2 berjalan lancar.
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata,
kelulusan itu antara lain melibatkan kebenaran merancang bagi projek
berkenaan selain pelaksanaan kerja-kerja projek di tapak yang terlibat.
“Hari ini kita (MTES) beri kelulusan
kepada beberapa permohonan yang diterima dari Pejabat Tanah, Majlis
Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Perhutanan Negeri (melibatkan
proses pembinaan Langat 2 ),” katanya pada majlis rumah terbuka
Aidilfitri kerajaan negeri di kediaman rasmi beliau di sini hari ini.
Langat 2 merupakan sebahagian daripada
Projek Pemindahan Air Mentah yang akan merawat 1.89 bilion liter air
mentah untuk disalurkan ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
dan Putrajaya sehingga 2025.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini dilaporkan berkata kelewatan
projek loji rawatan air Langat 2 berlaku kerana kerajaan Selangor
mengarahkan agensi dan pihak berkuasa tempatan menangguhkan pengeluaran
segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji tersebut sehingga
penstrukturan semula industri air di Selangor dimuktamadkan.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin
yang juga Timbalan Presiden PKR berkata pengagihan kerusi dalam kalangan
pakatan pembangkang bagi pilihan raya negeri Sarawak perlu dibincang
dengan teliti bagi mengelak berlakunya pertindihan kerusi.
Beliau berkata ia perlu dibuat dengan
mengambil kira hasrat Gerakan Harapan Baharu (GHB), yang diuar-uar mahu
bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.
Mohamed Azmin berkata demikian ketika
diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Penerangan PAS Sarawak, Andri
Zulkarnaen sebelum ini bahawa GHB Sarawak bersedia meletakkan calon pada
pilihan raya negeri akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan