Khamis, 30 Julai 2015

Muhyiddin digugurkan, PAS pula yang DAP serang

 Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 
 
[ULASAN] Ketika rakyat berteka-teki apakah langkah politik yang akan diambil oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dari kabinet baru Persekutuan, DAP cuba menyambar peluang untuk terus meracik perpaduan Melayu. 
 
Ia masih tidak hilang fokus untuk melemahkan satu lagi unsur kekuatan politik Melayu iaitu PAS supaya terus dicurigai oleh ahli dan penyokong parti itu dengan menyebarkan dakyah bahawa parti Islam itu kini cenderung pada Umno. 
 
Fasa pertama kempen menumbangkan Umno sebagai tunjang politik Melayu sudah hampir dapat dilaksanakan. Kempen Asal Bukan Umno (ABU) untuk masyarakat memandang jijik Umno masih diteruskan. 
 
Kini DAP cuba meraut dividen tambahan dengan mengkategorikan PAS “setaraf’ Umno supaya dipandang jijik di mata masyarakat. Namun akronim kempen itu tetap sama – ABU. Cuma kali ini sasarannya ialah Asal Bukan Ulama. 
 
Ketika rakyat kaget dengan pengumuman Muhyiddin digugurkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat kesimpulan bahawa PAS, terutama presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, semakin nyata cenderung pada Umno. 
 
Lim Guan Eng berkata tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan mengulas mengenai barisan kabinet baru persekutuan itu membuktikan hala tuju PAS cenderung kepada Umno.
 
Lim berkata beliau terkejut dengan pendirian Hadi yang menyifatkan rombakan kabinet kerajaan persekutuan yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai perkara biasa.
 
"Itu jelas menunjukkan hala tuju PAS di mana beliau (Hadi) cenderung kepada perdana menteri dan Umno," kata Guan Eng.
 
Malah sebaliknya Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyifatkan rombakan kabinet terbaru Najib itu semalam sebagai satu "gempa bumi." 
 
Walhal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudahpun menegaskan bahawa tindakannya itu bertujuan mempersiapkan sebuah pasukan yang bersepadu dan komited untuk melaksanakan janji membangunkan negara. 
 
Umum tahu bahawa Muhyiddin mengambil sikap yang agak kritikal dalam isu 1MDB yang dibelit pelbagai masalah tata-urus dan dakwaan salahguna kuasa yang menjadikan integritinya dipersoalkan. 
 
Najib mahu tuduhan berkenaan disiasat secara tuntas melalui penubuhan panel penyiasat terdiri daripada wakil pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Gabenor Bank Negara.
 
Malah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga juga sudah mula bertindak menyiasat pengurusan 1MDB.
 
Bagaimanapun dalam hubungan ini, Haji Hadi mengambil pendirian bahawa adalah terlalu awal untuk memberi komen mengenai kabinet baru Najib dan mahu memberi sedikit masa sebelum membuat penilaian.
 
Namun sesuai dengan kempennya untuk melemahkan perpaduan politik Melayu dengan menyokong penubuhan sebuah parti Islam baru yang dianjurkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB), DAP melihat isu rombakan kabinet itu sebagai satu peluang untuk terus melemahkan PAS. 
 
Namun PAS mengambil sikap untuk menyusun langkah politiknya secara saksama dan menghindar dari terjebak dalam perangkap politik Machiavelli – ‘matlamat menghalalkan cara’. 
 
Ini dapat dilihat dari sengketa di antara anggota Pakatan Rakyat yang tercetus oleh Langkah Kajang yang diilhamkan oleh Pengarah Strategi PKR ketika itu, Rafizi Ramli, tahun lalu. 
 
Rafizi yang kini Naib Presiden PKR merangkap Setiausaha Agung parti itu, melakarkan strategi supaya Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, meletak jawatan bagi memberi peluang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil di situ.
 
Congakannya, jika menang, Anwar akan dilantik menjadi menteri besar Selangor dan pasti mampu menjadikan negeri itu model negeri Pakatan Rakyat yang maju sekaligus melonjakkan peluang pakatan itu menawan Putrajaya.
 
PAS kurang bersetuju sistem demokrasi dipermainkan dengan sengaja mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri supaya dapat ditandingi semula dengan hasrat memenuhi keperluan politik semata-mata. 
 
Walau tidak menyebutnya secara terbuka, PAS berpendirian tegas tidak menyokong politik yang kurang beretika itu. 
 
Pendirian ini ditunjukkan sekali lagi dengan jelas apabila Anwar tidak layak bertanding dalam pilihanraya kecil kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya. 
 
PKR mahu wakil rakyat Kajang yang baru, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik menjadi menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.  
 
Menilai rekod Khalid, PAS tidak yakin dengan alasan-alasan yang diberikan oleh PKR untuk menggugurkan Khalid. Maka tercetuslah krisis Menteri Besar. 
 
Begitu juga dengan pergolakan dalaman Umno yang sedang berlaku kini. Soal ada ketegangan dalam hubungan Najib sebagai presiden Umno dengan Timbalannya, Muhyiddin, itu adalah masalah rumahtangga Umno. 
 
Jika Najib sebagai perdana menteri Malaysia mahu menggugurkan Muhyiddin kerana mahu pasukan politik lebih kukuh dalam kerajaannya, itu hak Najib. 
 
Bagi Hadi, PAS sebagai parti politik budiman dan berakhlak, Najib wajar diberi masa untuk membuktikan pasukan barunya akan memberi kebajikan lebih banyak dan besar untuk rakyat.
 
Demikian prinsip perjuangan Hadi dan PAS. Namun politik budiman bukan pegangan DAP. Pendirian yang adil dan bersusila PAS ini cuba diputarbelitkan sebagai satu tanda PAS cenderung pada Umno. 
 
Jika benar apa salahnya? Bukankah politik adalah untuk mewujudkan sistem sosial dan ekonomi yang lebih sejahtera? Sesiapa sahaja boleh menawarkan diri untuk melaksanakan tugas itu. 
 
PAS memilih kewarasan dan sikap adil untuk tugas itu. Namun DAP lebih cenderung menggunakan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’.  


Tiada ulasan: