Jumaat, 31 Julai 2015

Sokongan kepada perasuah akan merendahkan diri sendiri-TMJ

 
TMJ menjadikan dunia bola sepak dan persatuan berkaitan sebagai pelambangan berleluasanya gejala rasuah


TMJ


PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengulangi ketegasan beliau terhadap gejala rasuah.

Dalam status yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers, beliau menjadikan dunia bola sepak dan persatuan berkaitan sebagai pelambangan berleluasanya gejala rasuah.

Jelasnya, sokongan kepada mereka yang bergelumang dengan rasuah hanya akan merendahkan moral mereka yang berkenaan.

“Saya tidak akan sekali-kali menyokong seseorang di dalam FAM atau mana-mana organisasi yang korup.
Sekiranya kita tetap memberikan sokongan kepada mereka yang kita tahu sememangnya korup demi kepentingan diri, itu menunjukkan betapa rendahnya harga diri dan maruah kita,” katanya.

Manakala dalam status lain yang dimuat naik sebelum itu, TMJ menegaskan pendirian beliau terhadap keburukan gejala rasuah.

Katanya, kuasa yang dimiliki seseorang itu tidak akan menjadikan dirinya seorang perasuah, namun akibat takut kehilangan kuasa dan sifat tamak membuatkan mereka bergelumang dengan korupsi.

“Saya tidak sanggup menerima betapa hipokritnya keadaan. Mencegah korupsi bukan sahaja baik, tetapi ianya sebagai benteng diri, ianya mencerminkan harga diri kita,” katanya.


Tiada ulasan: